KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merancang menggabungkan kursus keibubapaan dengan kursus pra perkahwinan yang kini diwajibkan untuk semua bakal pengantin. Menterinya, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, ini kerana kursus keibubapaan yang kini dilaksanakan kurang menarik minat orang ramai. "Kursus ini untuk mengingatkan ibu bapa dan bakal ibu bapa pentingnya ilmu untuk membesarkan anak-anak," katanya selepas program Ibu Sihat Keluarga Ceria di PPR Semarak di sini, Sabtu. Beliau berkata, ilmu tentang keibubapaan penting bagi mendidik anak-anak selain mengelak ibu bapa daripada mengabaikan tanggungjawab mereka. Dalam pada itu, Rohani turut mengingatkan golongan ibu supaya tidak mengabaikan kesihatan dalam kesibukan menjaga keluarga. "Disebabkan kekangan masa dan kesibukan mengurus, mereka sendiri tidak dapat menjaga diri dengan baik," katanya sambil menambah kesihatan ibu penting untuk keluarga bahagia. - Bernama