IPOH: Pengasas dan Pengerusi Kelab Veteran Umno yang pertama, Tan Sri Tajudin Ali, 95, meninggal dunia di kediamannya di Hala Gopeng, Off Jalan Sultan Nazrin Shah, di sini, pagi Sabtu. Menurut anaknya, Amirudin, Allahyarham bapanya dimasukkan ke Hospital Pakar KPJ Ipoh sejak dua minggu lalu, dipercayai mengalami jangkitan paru-paru. “Ayah kemudiannya dibawa balik ke rumahnya dua hari lalu, sebelum meninggal dunia kira-kira jam 11.30 pagi tadi,” katanya ketika dihubungi di sini, Sabtu. Beliau berkata, Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Ara, Pantai Besar di Batu Kurau, Taiping selepas solat Asar. Difahamkan, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan sempat meluangkan masa melawat Allahyarham selepas solat Jumaat pada Jumaat. Allahyarham meninggalkan seorang balu, Puan Sri Putri Sharifah Megat Abd Rahman, 89, dan sembilan orang anak. Allahyarham merupakan bekas wakil rakyat kawasan Kinta Utara (1955) dan dilantik menjadi Anggota Parlimen Larut mulai 1959 selama tiga penggal ketika zaman Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein menjadi Perdana Menteri. Pada 1974, Allahyarham menjadi Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Kurau dan dilantik sebagai exco kanan. Allahyarham memulakan pendidikan di Sekolah King Edward Taiping dan berkongsi minat bermain hoki bersama Tun Abdul Razak yang mewakili Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) pada ketika itu. - Bernama