suria

Motosikal Bertembung, Dua Maut

JOHOR BAHRU: Dua penunggang maut selepas motosikal yang ditunggang masing-masing bertembung akibat salah seorang daripada mereka menunggang secara melawan arus di KM14.3 Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua) arah utara,  di sini pada Ahad.

Timbalan Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri DSP M.Kumaresan berkata pihaknya menerima laporan kemalangan itu pada 7.50 pagi dengan kedua-dua mangsa maut ditempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

"Mangsa adalah Muhammad Nazri Abdullah, 23, yang berasal dari Kampung Rahmat, Rantau Panjang Kelantan dan Mohammad Hisham Mohd Kassan, 29, dari Taman Rinting, Masai, di sini.

Kedua-dua mereka bekerja di Pelabuhan Tanjung Pelepas, Gelang Patah," katanya menerusi  satu   kenyataan di sini pada Ahad.

Kumaresan berkata kemalangan dipercayai berpunca dari Muhammad Nazri yang menunggang motosikal jenis Yamaha 125 secara melawan arus dari arah Senai menuju ke Gelang Patah.

Beliau berkata ia menyebabkan motosikal itu bertembung dengan motosikal jenis Honda ditunggang Mohammad Hisham dari arah bertentangan.

"Mayat kedua-duanya dihantar ke Hospital Kulai untuk bedah siasat. Siasatan awal mendapati kerosakan kedua-dua motosikal itu teruk pada bahagian hadapan," katanya.

Menurut Kumaresan, cuaca baik ketika kemalangan berlaku dan laluan tiga lorong itu juga tidak terdapat sebarang kekeliruan tanda jalan.

Kes disiasat lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, katanya. - Bernama

kemalangan maut

Artikel Sebelum

Kek Kahwin Kawanku Musnah!

Artikel Berikut

Artikel Lain