suria

Dua Maut, Tujuh Cedera Nahas Di Muadzam Shah

Foto Facebook.

ROMPIN: Dua maut manakala tujuh lagi cedera dalam satu kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Kilometer 102.8, Jalan Kuantan-Segamat, Muadzam Shah, di sini, petang Ahad.

Dalam kejadian pada 5 petang itu, pemandu kereta Perodua jenis Alza, Jamaludin Basri, 56, dari Taman Mewah, Simpang Renggam, Johor dan anak perempuannya, Hanis Syahirah, 19, yang duduk di bahagian belakang sebelah kanan maut di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Rompin DSP Azli Mohd Noor berkata, tiga lagi penumpang kereta tersebut iaitu isteri Jamaludin, Rozita Manan, 50, yang duduk di bahagian penumpang hadapan dan dua lagi anak perempuan mereka, Hanis Nazira, 17, dan Hanis Humaira, 12, cedera parah di bahagian muka dan kepala.

Menurutnya, empat lagi mangsa yang cedera ialah pemandu Proton Exora, Yusoff Mat Mohidin, 35, bersama isterinya,  Farizan Subian, 35, serta dua anak mereka, Nur Farisya, 6, dan Muhammad Fariz Izuan, 9.

Seorang lagi anak Yusoff, Muhammad Zaquwan berusia setahun dan pemandu lori tangki bahan kimia (kosong) tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya ketika dihubungi di sini Isnin.

Menurutnya siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila lori tangki yang dipandu Mohd Fadzil Mohd Jailan, 46, menghala dari arah Kuantan ke Segamat tidak sempat mengelak sebuah kenderaan (tidak dikenal pasti) dari arah bertentangan membelok masuk ke simpang sebelah kanan (ke Petronas) secara mengejut.

"Pemandu lori hilang kawalan dan terbabas masuk ke laluan bertentangan sebelum merempuh Proton Exora yang berada di laluan simpang masuk ke Petronas dan kemudiannya merempuh pula Perodua Alza yang sedang menghala ke arah Kuantan.

"Akibat rempuhan tersebut, lori tangki tersebut terbalik ke sebelah kiri dan menghempap sebahagian Perodua Alza dinaiki lima sekeluarga itu," katanya ketika dihubungi di sini.

Azli berkata, akibat pelanggaran itu, Proton Exora yang dinaiki lima sekeluarga itu, berputar sehingga beralih kedudukan menghala ke Kuantan.

"Kesemua mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Muadzam Shah bagi tujuan rawatan manakala bedah siasat ke atas dua mayat mangsa akan dilakukan pada hari ini," katanya.

Katanya lagi, siasatan di tempat kejadian mendapati terdapat kesan brek lori tangki sepanjang lapan meter di atas permukaan jalan selain serpihan komponen kenderaan berada di kedua-dua laluan.

"Tempat kejadian merupakan dua lorong dua hala, jalan berturap tar, bahu jalan tidak berturap, permukaan jalan rata, cuaca baik dan keadaan cerah manakala di tengah jalan terdapat dua garisan putih putus-putus sebagai pembahagi jalan. - BERNAMA

kemalangan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain