suria

Pecah Masuk Rumah Hakim, Bapa Tiga Anak Dipenjara

Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR: Seorang bapa tiga anak dipenjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini Isnin kerana memecah masuk rumah Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Balia Yusof Wahi, dan mencuri barang bernilai RM11,300.

Hakim Shamsudin Abdullah menjatuhkan hukuman itu terhadap Ahmad Norfais Ishak, 22, selepas lelaki itu yang bekerja sebagai kelindan lori mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut dan memerintahkannya dipenjara bermula dari tarikh tangkap pada 23 Oktober lepas.

Ahmad Norfais didakwa telah melakukan pecah rumah melalui tingkap tandas dalam bilik dan mencuri barang-barang  antaranya tiga buah kamera jenama Nikon, Go Pro dan komputer riba milik Datuk Balia Yusof, 65, yang semuanya bernilai RM11,300 di rumah mangsa di Jalan Kent 4, di sini, pada 6.10 pagi, 22 Oktober lepas.

Dia dituduh mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan boleh juga dikenakan denda dan jika kesalahan yang dimaksudkan hendak dilakukan itu ialah kesalahan mencuri maka tempoh pemenjaraan itu boleh dilanjutkan sehingga 14 tahun.

Terdahulu, tertuduh yang diwakili peguam, Ernie Ahmad merayu supaya dikenakan hukuman penjara paling minimum dengan alasan dia telah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesilapan sama.

"Ketika kejadian itu, anak guam saya terdesak kerana sedang berdepan dengan masalah kewangan. Dia kini menyedari bahawa mencuri bukan jalan penyelesaian terbaik," kata peguam itu.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nurakmal Farhan Aziz memohon hukuman setimpal kerana itu adalah kesalahan serius agar menjadi pengajaran kepada orang awam supaya tidak melakukan kesalahan sama.

Selepas mahkamah menjatuhkan hukuman itu, isteri tertuduh yang berada di galeri awam kelihatan menangis.

Mengikut fakta kes, ketika mangsa masuk ke rumahnya pada 22 Oktober 2017, pukul 10 malam, beliau mendapati bilik bacaannya berselerak serta tingkap bilik air terbuka dan hasil pemeriksaan, mangsa kehilangan pelbagai barang, lalu mangsa membuat laporan polis.

Hasil siasatan mendapati beberapa cap jari yang ditemui di tempat kejadian  sepadan dengan cap jari tertuduh dan tertuduh kemudiannya berjaya ditangkap sehari selepas kejadian iaitu pada 23 Oktober dan berikutan itu beberapa barang milik mangsa juga ditemui semula. - BERNAMA

pecah rumah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Meraung Dirempuh Myvi

Artikel Lain