SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah penggunaan isu sensitif dengan sengaja bertujuan untuk memancing undi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) hanya akan menghancurkan negara. Titah Sultan Sharafuddin, baginda tidak mahu melihat ahli politik bermain dengan isu perkauman, agama dan beberapa isu sensitif yang lain demi kepentingan politik. "Ini menjadi kebimbangan semua Raja-Raja Melayu, kesemua sembilan daripada kami. Kami sering berbincang mengenai perkara ini semasa mesyuarat pra majlis yang diadakan sebelum Persidangan Majlis Raja-Raja. "Raja-Raja Melayu amat bimbang. Terlalu banyak isu sensitif dieksploitasi untuk keuntungan peribadi. Isu seperti ini tersebar luar di media sosial dan ia boleh memecah-belahkan rakyat," titah Sultan Sharafuddin dalam temubual eksklusif bersama The Star menjelang sambutan Hari Keputeraan baginda ke-72 pada 11 Disember ini. Baginda bertitah inilah sebabnya Raja-Raja Melayu mengeluarkan kenyataan tegas pada 10 Oktober lalu mengenai kontroversi kedai dobi hanya untuk pengguna Islam di Johor. Dalam kenyataan itu, Raja-Raja Melayu membuat pendirian bahawa tindakan sedemikian akan memudaratkan pembentukan budaya negara. Raja-Raja Melayu menegaskan walaupun apa jua agama yang dianuti, penganutnya haruslah saling menghormati, bersederhana dan inklusif. Sultan Sharafuddin bertitah, baginda kecewa apabila kenyataan pada 10 Oktober lalu seolah-olah tidak diendahkan kerana satu lagi kontroversi perkauman tercetus beberapa hari selepas itu. Baginda merujuk kepada kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad pada perhimpunan "Cinta Malaysia, Anti Kleptokrasi" pada 14 Oktober lalu di mana bekas perdana menteri itu menyamakan keturunan Bugis dengan lanun. Banyak laporan polis dibuat ke atas Dr Mahathir, meminta agar beliau ditahan di bawah Akta Hasutan. Sultan Sharafuddin mengkritik Dr Mahathir kerana menyerang keturunan Bugis dalam perjuangan politiknya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. "Beliau dalam keadaan marah dan akan membakar seluruh negara dengan api kemarahannya," titah baginda. Ditanya mengenai pandangan baginda mengenai PRU14, Sultan Sharafuddin bertitah baginda telah beramah-mesra dengan rakyatnya. "Rakyat Selangor mahu kerajaan bebas rasuah. Mereka mahu kebajikan mereka dijaga, perkara penting untuk mereka seperti rumah mampu milik dan pendidikan, akses kepada penjagaan kesihatan yang berkualiti pada kadar yang berpatutan. "Bagi beta, beta mahu rakyat hidup dalam keadaan aman dan harmoni tanpa bertengkar mengenai isu sensitif. Hormat-menghormati antara satu sama lain," titah baginda. Memandangkan kedudukan Dewan Diraja Selangor mengatasi politik, Sultan Sharafuddin bertitah baginda tidak akan mengundi begitu juga dengan isteri atau anak-anaknya. "Ia menjadi amalan datuk dan bapa beta. Begitu juga dengan beta dan juga anak-anak," titah baginda. Pada masa sama, Sultan Sharafuddin bertitah baginda akan terus melaksanakan tanggungjawab sebagai pemimpin untuk semua kaum di Selangor. "Ia adalah tindakan seimbang. Tetapi ia adalah asas pembelajaran yang baik dan saya menikmati setiap cabaran dalam menyelesaikan masalah. Kita perlu tenang dan bergantung kepada pasukan berbeza untuk mendapat maklum balas rakyat sebelum membuat keputusan," titah baginda.