suria

Tolak Nostalgia Dongeng, Harapan Palsu - Khairy

Khairy menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Pemuda di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra pada Rabu. Foto AZHAR MAHFOF/The Star

KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin mahu anak muda tidak terbuai dengan nostalgia dongeng bahawa Malaysia dahulu adalah lebih baik berbanding sekarang.

Khairy, yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata, anak muda mungkin 'terlalu muda' untuk mengingat betapa tidak seimbangnya pembangunan masa dahulu.

Tanpa menafikan Menara Kembar Petronas merupakan legasi bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, begitu juga Putrajaya dan Litar Antarabangsa Sepang, Khairy bagaimanapun berkata kebanyakan fokus kemajuan tersebut hanya di Lembah Klang sahaja.

"Takkan kita cetek sangat, semata-mata ada KLCC, ada Putrajaya, ada Litar Sepang, kita terus anggap semua rakyat dari Perlis ke Johor, Perak ke Sabah, hidup sama rata?" soalnya.

Berucap di hadapan 970 perwakilan pada Perhimpunan Pergerakan Pemuda Umno 2017 bersempena Perhimpuan Agung Umno 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini Rabu, Khairy berkata, ketidaksamarataan itu sedang diperbetulkan kepimpinan hari ini.

Beliau memberikan contoh mengenai pembangunan dan kemajuan sama rata yang dilaksanakan di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak iaitu seperti Lebuhraya Pan Borneo, Rangkaian Rel Pantai Timur (ECRL) dan Keretapi Laju Kuala Lumpur-Singapura (HSR) yang mana banyak kawasan menerima limpahan pembangunan daripada projek-projek berkenaan.

Beliau turut menyentuh mengenai kegagalan mega yang berlaku pada era kepimpinan Dr Mahathir seperti kerugian mata wang asing lebih RM31 bilion oleh Bank Negara dan kerugian RM10 bilion Perwaja Steel.

Khairy menegaskan dahulu dan kini adalah dua zaman yang berbeza.

Beliau menjelaskan Malaysia pada ketika itu adalah antara sebahagian kecil negara yang mengamalkan dasar ekonomi terbuka yang mana pelaburan luar melimpah masuk hingga merangsang pembangunan ekonomi yang pantas.

Namun hari ini, katanya negara seperti India, China dan Vietnam yang dahulunya mengamalkan dasar tertutup, sudah terbuka luas pintunya dan ia memberikan lebih pilihan kepada para pelabur hingga menjadikan persaingan begitu sengit buat Malaysia.

Khairy dalam pada itu turut mengingatkan pengundi muda bahawa jika nostalgia dongeng itu bahaya, yang lebih berbahaya adalah harapan palsu.

"Berjanji memang mudah... bulan, bintang, matahari waima cakerawala ... sesiapa pun boleh kalau setakat menabur janji.

"Tetapi pengundi yang celik dan rasional mesti bertanya, bolehkah janji itu dilaksana?" katanya.

Mengupas harapan palsu pembangkang untuk menghapuskan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) jika memenangi pilihan raya, Khairy menyoal pemerolehan sumber bagi menggantikan RM41 bilion yang dikutip GST untuk menampung pembangunan negara.

Khairy, yang pernah menyatakan hasrat untuk melepaskan kepimpinan Ketua Pemuda selepas ini, mahu nostalgia dongeng dan harapan palsu ditolak kerana ia bersifat regresif dan menulis semula sejarah secara selektif.

"Kita tolak kerana ia harapan palsu yang menyasar daripada logika, direka hanya demi kemenangan politik dan bakal mengorbankan masa depan anak cucu kita," katanya.

Beliau berkata, kerajaan yang terbaik untuk Malaysia dan anak cucu adalah yang melihat hari esok sama pentingnya seperti hari ini, jika tidak lebih lagi.

"Yang memastikan masa depan harus lebih baik dari sekarang, dan bukan sebaliknya," katanya dan disambut tepukan gemuruh oleh para perwakilan di Dewan Tun Hussein Onn tempat berlangsungnya perhimpunan itu. - Bernama

Artikel Lain