suria

Ambil Amah Tanpa Ejen Disambut Baik

Gambar fail menunjukkan Uma Puspanthan bersama dua pembantu rumahnya warga Indonesia, Juhati Siti Hkodijah (kanan), 32, dan Ismiyati, 44, (tengah) sedang memasukkan biskut ke dalam balang.

PETALING JAYA: Ia merupakan satu pengalaman pahit yang dikongsikan oleh seorang perunding latihan, Rafidah Arifin.

Wanita berusia 39 tahun itu tidak mempunyai masa untuk mengurus kerja rumah kerana terlalu sibuk dengan jadual kerja hariannya.

Pada 2013, dia memilih untuk menggaji pembantu rumah asing melalui ejen untuk membantu menjaga rumahnya.

Dia membayar RM3,500 sebagai deposit kepada ejen dan baki sebanyak RM3,500 apabila pembantu rumahnya tiba dari Medan.

"Selepas kira-kira seminggu, dia muntah dan sering mengadu sakit perut," kata Rafidah.

Dia kemudian membawanya berjumpa doktor, yang memberitahu bahawa pembantu rumahnya hamil tiga bulan.

"Saya terkejut dan terdiam. Macam mana ejen boleh hantar seorang wanita hamil untuk bekerja?" soalnya.

Rafidah berkata, dia menghubungi agensi tersebut di Kepong, tetapi dihujani dengan pelbagai alasan.

Bagaimanapun, kira-kira sebulan selepas itu, pembantu rumahnya melarikan diri.

"Nasib baik, dia tidak melarikan barang peribadi saya.

"Saya memberitahu kepada diri sendiri, itu sahajakah? Tidak ada lagi pembantu rumah untuk saya," kata ahli perniagaan itu, yang mengusahakan firmanya sendiri.

Lebih mendukacitakan Rafidah apabila empat kenalan rapatnya diperkenalkan dengan ejen. Namun kesemua empat pembantu rumah yang lain turut melarikan diri selepas bekerja selama beberapa bulan.

"Ia menjejaskan reputasi saya. Saya terpaksa menanggungnya tetapi saya bernasib baik kerana kawan-kawan tidak menyalahkan saya. Saya berasa sangat teruk kerana membuat mereka terbeban, "katanya.

Pembentangan Bajet 2018 baru-baru ini mengumumkan bahawa majikan boleh mendapatkan pembantu rumah secara langsung tanpa melalui ejen dari sembilan negara sumber, termasuk Indonesia, Filipina, Myanmar, Vietnam dan Bangladesh.

Majikan juga boleh mendapatkan visa untuk pembantu rumah mereka melalui permohonan dalam talian dan membayar levi dan yuran pemprosesan pada kadar sekarang.

"Saya mungkin mempertimbangkannya semula dan ketepikan pengalaman buruk itu. Membenarkan majikan mengambil pembantu rumah sendiri merupakan langkah baik dan menang-menang untuk semua pihak," kata Rafidah.

Ibu kepada dua anak, Azrina Mohd Shakaruddin mengaitkan pengalamannya dengan pengambilan dua pembantu rumah yang tidak bertanggungjawab.

Kejadian pertama pada 2013 apabila Azrina membayar RM4,500 untuk seorang pembantu rumah berusia 28 tahun dari Jawa, Indonesia.

"Selepas bekerja selama tiga bulan, dia melarikan diri.

"Pembantu rumah itu tidak mahir membuat kerja rumah tetapi ejen yang menghantarnya kepada saya, mendakwa dia boleh berkhidmat dengan baik," kata suri rumah yang berusia 39 tahun itu.

Sejak dua anaknya masih kecil, Azrina berkata, dia dan suaminya, Ismail Marlan, 42, memutuskan untuk mencuba nasib mereka dan menggaji pembantu rumah lain pada 2015. 

Pasangan itu membayar ejen tersebut sebanyak RM6,500.

Kali ini, pembantu rumah berkenaan adalah seorang wanita tua Indonesia berumur 42 tahun.

"Dia boleh bekerja tetapi mempunyai masalah sikap. Dia merokok di rumah ketika kami tiada dan dia menafikan perkara itu ketika saya berdepan dengannya.

"Memandangkan anak-anak saya masih muda, saya menghantarnya pulang. Jadi sekarang, saya sendiri menjaga anak-anak," kata Azrina dari Gerik, Perak.

Dengan kaedah baharu yang diumumkan pada 27 Oktober lalu, Azrina berkata, dia turut mencuba mencari seorang pembantu rumah baharu, dengan harapan ia bertuah pada kali ketiga.

"Segelintir rakan mencadangkan beberapa pembantu rumah yang berpotensi.

"Biar saya mendapatkan gambaran penuh daripada pihak berkuasa terlebih dahulu dan saya akan terbang ke Medan untuk menyaring pembantu berpotensi saya tahun depan," katanya dengan nada ceria.

Jika berjaya, Azrina berkata, dia akan berkongsi proses permohonan dan mengesyorkan kepada orang lain yang memerlukan pembantu rumah.

Mereka bukanlah kes terpencil. Beberapa yang lain juga menghadapi pengalaman pahit yang sama.

Kru penerbangan, Azimah Arshad, 29, berkata, dia kehilangan RM5,000 tahun lepas kepada ejen yang tidak memenuhi perjanjian mereka.

Seorang ahli perniagaan, Nur Fatimah Adillah, 33, berkata, dia cuba menggaji seorang pembantu rumah selama lebih setahun dengan beberapa ejen yang meminta beliau membayar RM14,000.

Sementara itu, Presiden Persatuan Majikan Amah Malaysia (Mama), Engku Ahmad Fauzi Engku Muhsein memuji langkah baharu itu yang diperkenalkan oleh Kerajaan.

Beliau berkata, majikan boleh berunding secara langsung dengan pembantu rumah dan menjimatkan kos sebanyak 50 peratus.

Pada masa ini, bayaran levi dan pemprosesan yang dikenakan ejen antara RM12,000 hingga RM18,000.

pembantu rumah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Enam Cedera Bas Rempuh Treler

Artikel Lain