KUALA LUMPUR: Perhimpunan Agung Umno 2017 sebulat suara meluluskan usul jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Umno tidak dipertandingkan pada pemilihan parti akan datang. Pengerusi Tetap Umno Tan Sri Badruddin Amiruldin mengumumkan keputusan itu selepas perwakilan mengundi bersetuju dengan usul yang dicadangkan wakil pergerakan Pemuda Umno Datuk Mohamad Sahfri Ab Aziz dan disokong oleh wakil Perak Datuk Mohd Azhar Jamaluddin, serta dibahaskan wakil negeri serta jurucakap sayap. Beliau berkata mengikut Akta 5 Perlembagaan Umno, usul yang dibawa wakil Pemuda itu mengajak seluruh kekuatan dan potensi anggota, penyokong Umno dan komponen BN untuk meningkatkan solidariti bagi memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14). "Namun, ada sedikit pindaan oleh Pemuda iaitu sejajar dengan Fasal 20 Perlembagaan Umno pindaan perenggan lima dimasukkan perkataan-perkataan berikut: "Justeru atas semangat kebersamaan dan kesalingan dan bagi memastikan konsep ini dapat direalisasikan, adalah dengan menjadi ketetapan untuk diputuskan dalam sidang kali ini agar jawatan Presiden, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Presiden (Naib Presiden yang menjalankan tugas Timbalan Presiden), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, tidak dipertandingkan dalam pemilihan akan datang," katanya sebelum menangguhkan persidangan itu sehingga 3 petang. Terdahulu, Badruddin meminta para perwakilan yang bersetuju dengan usul itu supaya mengangkat tangan. Pada masa sama, Najib, yang turut mengangkat tangan, dicuit oleh Ahmad Zahid sambil kedua-duanya ketawa.Menggelarkan Najib, Ahmad Zahid dan Naib Presiden Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sebagai 'tiga beradik', Badruddin kemudian meminta para perwakilan memberi tepukan kepada mereka. “Mereka akan berpeluk, berpegang tangan menandakan mereka akan bersama-sama susah senang mempertahankan maruah agama bangsa dan tanah air. “Perjuangkanlah wahai bangsaku... hidup Umno, hidup Umno, hidup Umno," laungnya penuh semangat. -Bernama