PETALING JAYA: Lebih daripada 6,000 pelajar dari 20 sekolah memandu di Selangor tidak boleh menduduki ujian memandu kerana kekurangan buku Kod Lebuhraya. Ini telah menimbulkan kegelisahan dalam kalangan ibu bapa kerana anak mereka tidak dibenarkan menduduki ujian teori memandu bagi mendapatkan lesen 'L'. Seorang ibu yang hanya ingin dikenali sebagai Ros, 47, berkata, anak perempuannya tidak dapat mengambil ujian dalam taliannya dua bulan selepas mendaftar di sekolah memandu di sini pada Oktober lalu. Ros berkata, anaknya yang berusia 17 tahun itu telah bersedia untuk menduduki ujian dengan buku yang "dikitar semula" daripada sekolah memandu. Setiap buku mengandungi nombor siri yang harus digunakan oleh calon untuk log masuk dan mengambil ujian. "Saya mahu dia mendapatkan lesennya sebelum pergi ke universiti. "Dia belum menerima buku itu sehingga kini, walaupun kami telah membayar yurannya pada harga penuh," katanya Ros dengan rasa kecewa. Seorang pemilik institut memandu di sini yang juga enggan dikenali mendakwa syarikatnya tidak menerima bekalan buku yang mencukupi daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sejak Jun lalu. Dia mendakwa kekurangan itu dicetuskan oleh 'masalah dalaman' antara Kementerian Kewangan dan syarikat percetakan. "Pengeluaran buku-buku berhenti sepenuhnya pada Jun. Kami hanya menerima 20 salinan dan beberapa pelajar telah menunggu hampir empat bulan," katanya. Tambahnya, tempoh menunggu yang lama antara sesi pelajaran dan masa untuk mengambil ujian telah menyebabkan hampir separuh pelajar gagal. "Mereka kemudian menyalahkan kami apabila mereka perlu mengambil semula ujian," luahnya. Sementara itu, pihak JPJ menasihati pengusaha sekolah memandu agar mengawal pengambilan calon sambil menunggu penghantaran buku secara berperingkat. Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan), Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman berkata, JPJ telah memenuhi tempahan buku tersebut dan akan menghantarnya secara berperingkat. Beliau berkata, beberapa institut memandu yang popular mungkin mengalami kekurangan buku kerana mereka menarik lebih ramai pelanggan daripada yang lain.