suria

Kilang Besi Hutang RM700,000 Gaji Pekerja

KUANTAN: Seramai 118 pekerja kilang besi di kawasan Perindustrian Gebeng di sini, menuntut bekas majikan mereka segera membayar tunggakan gaji dan pampasan selepas mendakwa diberhentikan kerja secara mengejut.

Wakil kumpulan itu, Zafran Ahmad, 43, berkata mereka diberhentikan secara berperingkat sejak hujung 2016 sehingga 16 Oktober lalu susulan syarikat yang disenaraikan dalam Bursa Malaysia itu mengambil pendirian mengurangkan operasi ekoran kekurangan permintaan besi di pasaran dunia.

Zafran mendakwa syarikat itu juga didapati gagal melakukan caruman dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) walaupun ada membuat pemotongan berdasarkan keterangan pada penyata gaji.

"Tindakan syarikat itu tidak membayar gaji tertunggak dan pampasan ternyata membebankan pekerja yang perlu menanggung perbelanjaan keluarga. Ada dalam kalangan kami masih belum mendapat pekerjaan.

"Kami sudah membawa hal ini kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) yang kemudiannya mengatur perbincangan antara pekerja dan majikan pada 15 November lalu, namun hasilnya mengecewakan kerana mereka tidak menghantar wakil,” katanya kepada pemberita selepas menyertai demonstrasi aman di sini, Ahad.

Seramai 80 bekas pekerja kilang itu menyertai demontrasi tersebut.

Zafran yang sebelum ini merupakan penyelia di kilang itu menambah mereka juga sedang berbincang untuk mengambil tindakan undang-undang bagi memastikan hak pekerja diperoleh sekiranya masih tiada keputusan diberikan oleh pihak pengurusan.

Seorang bekas penyelia mesin Mohd Khaizal Idris, 42, yang diberhentikan pada hujung tahun lalu berkata dia dan rakannya juga sudah membawa masalah itu ke Mahkamah Perusahaan yang kemudiannya memutuskan bekas majikannya itu perlu membayar tunggakan gaji.

"Malangnya sehingga kini mereka masih belum berbuat demikian, sepatutnya mereka bayar penuh gaji kami tetapi hanya membayar gaji bagi 12 hari bekerja.

Kami berharap masalah ini mendapat pembelaan kerana wang itu untuk menyediakan kelengkapan persekolahan anak dan membayar hutang," katanya.

Sementara itu, wakil pengurusan kanan kilang itu ketika dihubungi berkata pihaknya hanya akan membuat pembayaran tunggakan gaji dan pampasan selepas proses perbincangan selesai dan jumlah sebenarnya dimuktamadkan.

"Jumlahnya dianggarkan RM700,000 dan kami kini dalam proses perbincangan menerusi kesatuan pekerja. Selain itu jumlah tuntutan yang sebenar perlu dimuktamadkan oleh peguam… tunggu semua sudah selesai baru syarikat akan bayar," katanya. - Bernama

tunggakan gaji, pampasan

Artikel Lain