SAMARAHAN: Seorang warga emas berusia 60 tahun dari Kampung Beliong di sini dijumpai masih hidup selepas dilaporkan hilang selama lapan hari di dalam hutan. Subhi Mud dijumpai dalam keadaan terbaring di kawasan semak oleh pasukan penyelamat kira-kira pukul 1.30 petang Isnin. Komander Jabatan Bomba dan Penyelamat, Muhamad Syanul Mustapa berkata, warga emas itu hilang selepas dia sesat di dalam hutan pada 4 Disember lalu. Pasukan penyelamat menjumpai mangsa pada jarak 1.8 kilometer (km) dari kem bergerak yang didirikan untuk operasi pencarian itu.