KUALA LUMPUR: Selepas hampir enam bulan, hasrat seorang pelajar autisme untuk menghadiahkan kuih kapit hasil air tangannya kepada Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin akhirnya tertunai. Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di Putrajaya menjadi lokasi penuh bermakna buat Muhd Farid Fakhruddin Md Fauzan, 19, sempena majlis perasmian Kick Off Youth Autism @KBS dan pelancaran Rimau Cafe, yang disempurnakan Khairy. Julai lalu, Muhd Farid pernah menyuarakan hasratnya untuk berjumpa dengan Khairy dan ia dikongsikan di laman sosial. Khairy atau lebih dikenali sebagai KJ, hanya dalam masa sejam, memberi respons untuk merealisasikannya. ARTIKEL BERKAITAN: YB KJ, Tunggu Saya Bawa Kuih Kapit! Pelajar semester tiga Sijil Asas Kulinari di Kolej Komuniti Selayang berkata, dia berasa bersyukur kerana diberi peluang untuk menunaikan hasratnya kepada idolanya itu. "Alhamdulillah, saya gembira dan teruja sangat tetapi pada masa sama saya tergamam kerana tak sangka diberi peluang ini. "Akhirnya YB (Yang Berhormat) KJ dapat kuih kapit Farid, Terima kasih YB!," katanya kepada mStar Online sambil menambah bahawa motonya adalah 'Belia Austime Perlukan Sokongan dan Bukan Simpati'. Muhd Farid hadir bersama wakil Kolej Komuniti Selayang yang turut hadir bagi memberi sokongan kepada program Rimau Cafe yang melibatkan pelajar autisme. Ia merupakan percubaan kali ketiga Muhd Farid untuk menghadiahkan kuih kapit kepada Ahli Parlimen Rembau itu. ARTIKEL BERKAITAN: “Maaf YB, Hari Ni Saya Tak Bawa Kuih Kapit” Pada 19 September lalu, Muhd Farid bertemu dengan Khairy tanpa dirancang semasa menyaksikan acara pada Sukan Para Asean Kuala Lumpur 2017 (Para KL2017) di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (Mitec) di sini. Namun ketika itu dia tidak berpeluang untuk memberikan kuih kapit kepada Khairy yang juga Ketua Pemuda Umno seperti yang dirancang. Muhd Farid (kiri) untuk bertemu dengan Khairy semasa Sukan Para Asean Kuala Lumpur 2017 (Para KL2017), September lalu. Sabtu lalu, pelajar istimewa yang mahir membuat kuih kapit ini sekali lagi mencuba nasib pada hari terakhir Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2017 tetapi gagal. ARTIKEL BERKAITAN: “YB KJ, Saya Bawa Kuih Kapit Kat PAU” Ketika itu Farid hadir menyertai gerai Inspired Kitchen di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi sempena PAU 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini. Dalam pada itu, ibu Muhd Farid iaitu Roselina Mohamad Mahiddin, 52, bersyukur kepada Khairy kerana memenuhi impian seorang remaja autisme. "Saya ibu kepada remaja autisme, saya berasa amat bangga dengan Kolej Komuniti Selayang yang telah berjaya membentuk jati diri Muhd Farid," katanya.