SEGAMAT: “Ajwad nak mainan, Ajwad nak mainan," keletah dan kata-kata yang sering diucapkan Muhammad Abu Ajwad Muhamad Abu Dujannah, 4, tidak akan dapat dilupakan bapa saudaranya Nizammuddin Dzulkarnain, 31, buat selama-lamanya. Muhammad Abu Ajwad meninggal dunia bersama-sama bapanya Muhamad Abu Dujanah Dzulkarnain, 30, ibunya Zinnirah Abdul Hamid, 28, serta dua beradik lain Nur Maghfirah, 6, dan Nur Alia Humairah, tiga bulan, dalam kemalangan di sini Selasa. Seorang lagi adiknya yang terlibat kemalangan sama Nur Ghaziyah Athirah, 3, kini dalam keadaan kritikal dan sedang dirawat di Hospital Segamat di sini. Nizammuddin berkata anak saudaranya itu seorang kanak-kanak periang serta rapat dengan saudaranya yang lain dan kali terakhir beliau bertemu dengan keluarga itu kira-kira dua minggu lepas serta merancang untuk bertemu minggu ini pada majlis kenduri kahwin di kampungnya. "Ajwad nak mainan, Ajwad nak mainan yang anak saudara saya cakap selalu bermain dalam memori saya (sejak pemergiannya) yang saya tak akan dapat lupakan sampai bila-bila. Saya juga tak sempat dukung baby (Nur Alia Humairah) masa berjumpa kerana masa itu saya tidak sihat, Allah sudah tentukan segala-galanya," kata anak sulung daripada 11 beradik itu dengan sebak kepada pemberita di Hospital Segamat di sini, Rabu selepas menuntut jenazah lima sekeluarga itu. Muhamad Abu Dujanah seorang peniaga, yang merupakan anak kedua daripada 11 beradik, maut bersama isteri dan tiga anaknya dalam kemalangan di Km 176 Jalan Johor Bahru-Seremban di sini pukul 6.30 petang Selasa. Nizammuddin bekerja sebagai buruh berkata beliau mengetahui tentang kejadian itu semalam apabila melihat gambar kereta adiknya dalam kemalangan itu yang tular dalam laman Facebook sebelum bertindak menghubungi emaknya untuk mengetahui di mana adiknya berada. "Dapat tahu pukul 6 lebih ayah saya kemudian telefon balai polis dan polis sahkan itu kereta adik saya. Masa itu hanya Allah sahaja yang tahu perasaan saya, tak dapat fikir apa, kata apa, nak pengsan pun ada. Allah lebih sayangkan mereka," katanya dengan linangan air mata. Dzulkarnain Yusoh, 55, anaknya itu ketika kejadian dalam perjalanan dari rumah mentuanya di Muadzam Shah, Pahang menuju ke rumahnya di Kluang. "Keluarga besan nak tengok cucu yang baru lahir itu (Nur Alia Humairah), jadi dalam perjalanan pulang itu berlaku kejadian itu. Saya harap semua dapat doakan cucu saya (Nur Ghaziyah Athirah) semoga dia cepat sembuh dan terus kuat (hadapi dugaan ini)," katanya. - BERNAMA