DI antara pelbagai bangsa yang bekerja di Doha ini, aku paling serasi dengan geng Sri Lanka. Bukan aku sahaja, bahkan ramai rakyat Malaysia yang mengaku senang dan selesa bekerja atau melepak dengan mereka. Walaupun berbeza warna kulit, tetapi perangai sama saja macam orang Malaysia. Berbeza daripada orang Filipina dan India, bangsa Sri Lanka mempunyai keserasian kimianya lebih baik dengan kami. Di sini baru aku tahu, panggilan ‘macha’ itu berasal dari Sri Lanka. Setiap negara mempunyai panggilan mesra untuk seseorang. Filipina dengan 'parey', India dengan 'bhai' atau 'mudir', Malaysia dengan 'bro' atau 'bos' dan Sri Lanka - macha. Tidak pernah sekali aku dengar panggilan macha itu digunakan bangsa India di sini. Berbeza jika di Malaysia, panggilan macha itu sinonim dengan orang India. Pagi kali ini sudah dingin. Ibarat manusia yang kebah dari demam panas, pagi menjadi sejuk semula dan menjentik-jentik setiap inci muka yang tidak ditutupi apa-apa. Selesai meletakkan beg di dalam loker, aku berjalan perlahan menuju ke stesen kerja untuk memulakan tugas. BAP! Satu tamparan keras hinggap di belakang aku. Hampir saja aku tersungkur dari tangga yang sedang aku turuni. Serentak itu satu suara garau sedang ketawa dan satu genggaman kasar menggenggam lengan aku sekali gus menghalang aku daripada tersungkur. Aku menoleh. Kelihatan Uresh si pemuda Sri Lanka dengan mulutnya tersenyum lebar memandang aku. Nasib baik dia tinggi dan sasa. Kalau dia serendah si Ronald tu, mahu saja aku sepak dia. “Selamat pagi macha,” tegur Uresh dalam ketawa. “Kau sudah tua,” sambung dia lagi. Aku menjeling dan senyum kelat saja. Kami berjalan bersama menuju ke stesen kerja, sambil mengumpat jurutera dan mekanik yang kami tidak suka. Kerja kami hari itu nampaknya mudah, iaitu sekadar melakukan pembersihan beberapa unit komputer. Dan yang untungnya, hari ini dapat berpasangan dengan budak Sri Lanka, Uresh tadi. Kad tugasan sudah diambil. Aku dan Uresh menuju ke stor untuk mendapat berus, sarung tangan dan kain. “Macha, esok aku ada ujian memandu,” beritahu Uresh. “Oh! Semoga kau gagal!” kata aku sambil ketawa. “Tiada masalah macha. Aku orang kaya, aku boleh bayar teksi untuk datang kerja,” kata Uresh dengan matanya yang membulat. Selesai satu hari kerja tatkala jam menunjukkan pukul 5.45 petang. Masing masing menuju ke loker, membersihkan diri, mengambil beg dan kemudian bergegas keluar pulang ke rumah masing-masing. Esoknya, aku datang kerja seperti biasa. Selesai meletak beg di dalam loker aku menuju ke stesen kerja. Di stesen kerja aku tidak nampak kelibat Uresh. Lama kemudian baru aku teringat, dia cuti hari ini kerana ada ujian memandu. Aku mengeluarkan telefon dan menghantar mesej, semoga berjaya kepada dia. Sewaktu rehat tengahari, saat aku sudah mahu lelap, telefon aku berbunyi menandakan ada mesej masuk. Aku mengambil tekefon dan membaca mesej yang di hantar. Oh, dari Uresh, “Ini semua kau punya pasal. Aku gagal!” Itu mesej yang dihantar oleh Uresh bersama dengan emoji muka marah. Aku ketawa berdekah-dekah, kemudian aku berhenti ketawa. Ada satu ingatan yang tidak enak tiba-tiba menjengah fikiran aku. Mampus! Esok dah tentu aku kena tampar dengan dia sekuat hati! Adoi!