suria

Sanggup Berhabis Duit Jadikan Rumah Mini Muzium

Surgi (kanan) bergambar bersama seorang anaknya, Dr Mohd Hisham di galeri muzium berkenaan.

SABAK BERNAM: Seorang pesara kerajaan sanggup berhabis wang ringgit termasuk sebuah rumah untuk dijadikan mini muzium semata-mata ingin memelihara barangan lama agar terus menjadi tatapan generasi muda hari ini.

Bagi Surgi Gharib, 74, usaha yang dilakukannya itu bukan sekadar hobi semata-mata, malah ingin memastikan warisan yang ditinggalkan itu dihargai anak muda pada masa sekarang.

Surgi atau lebih mesra disapa Wak Surgi berkata, terdapat lebih 100 koleksi barangan antik berada di Mini Muzium Wak Surgi sejak dipamerkan kepada orang ramai 20 tahun lalu.

“Antara koleksi yang disimpan di sini seperti manuskrip lama, buku sejarah, pinggan mangkuk kuno, arca, tembikar dan kamera lama.

“Selain itu, kita juga ada koleksi senjata lama, senapang Belanda, pedang, gabus, alat muzik tradisional lama, kipas angin padi, mesin parut kelapa dan sampan,” katanya.

Mini muzium yang terletak di Taman Setia Jaya, Sungai Besar, itu juga katanya, kerap disinggahi pengunjung terutama pada musim cuti persekolahan dan hujung minggu.

“Kita harap dengan adanya muzium ini, pengunjung terutama generasi muda dapat kenal barangan lama yang pernah digunakan pada masa lalu, tetapi tidak ditemui lagi kini. Biarpun terpaksa berhabis wang, saya puas bila anak-anak muda yang datang ke muzium teruja dengan koleksi barangan lama,” katanya.

Selain itu katanya, penuntut universiti sering berkunjung ke muziumnya untuk dapatkan bahan rujukan dan buat kajian.

“Sedikit sebanyak muzium ini dapat bantu menambah pengetahuan kepada mereka yang ingin mencari maklumat tentang sejarah lama,” katanya.

Bapa tiga anak itu menjelaskan, mini muzium itu turut mendapat sokongan daripada Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (Padat) dan Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia Negeri Selangor.

Malah katanya, Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) dan Muzium Negara turut memberikan pengiktirafan terhadap usaha murni terbabit.

“Ini juga boleh dijadikan sebagai mercu tanda di daerah Sabak Bernam. Kalau datang berkunjung ke sini, pastikan anda singgah ke muzium ini yang dibuka secara percuma kepada pelanggan,” katanya.

Wak Surgi memberitahu, atas usahanya itu, dia kerap dipanggil untuk mengikuti pelbagai program kerajaan, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan pihak swasta untuk membuka pameran barangan antik.

“Kalau di Sabak Bernam ini, penduduk sekitar ramai yang kenali saya sebagai pengasas mini muzium. Kini, saya giat tambah koleksi barangan antik selain turut membuka galeri lukisan bersebelahan muzium untuk dilawati pengunjung.

"Dengan cara ini juga saya dapat bergaul lebih rapat dengan pengunjung dan masyarakat setempat,” katanya. - Sinar Online

mini muzium

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

AirAsia X Kini Terbang Ke Jeju

Artikel Lain