ISTANBUL: Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mesti bersatu dalam usahanya untuk menolak sebarang langkah mengisytiharkan Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel kerana akhirnya ia hendaklah menjadi ibu negara Palestin, kata Datuk Seri Najib Tun Razak. Perdana Menteri berkata Malaysia mengutuk dan menolak sama sekali keputusan satu pihak oleh Amerika Syarikat (AS) untuk mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel, dan memindahkan kedutaannya dari Tel Aviv ke Baitulmuqaddis. “ Status muktamad Baitulmuqaddis tidak boleh diputuskan melalui pengiktirafan satu pihak kerana ia mesti diselesaikan menerusi rundingan pelbagai hala antara Palestin dan Israel di bawah kerangka penyelesaian dua negara. “Langkah seumpama itu menjejaskan semua usaha ke arah mencari penyelesaian yang komprehensiff, adil lagi berkekalan terhadap konflik Palestin-Israel. Lebih-lebih lagi, masa depan penyelesaian dua negara itu tergantung dalam konteks ia mudah tergugat,” kata Najib ketika berucap pada Sidang Kemuncak Luar Biasa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengenai Al-Quds Al-Sharif (Baitulmuqaddis) di sini pada Rabu. Najib berkata sebarang percubaan untuk mengiktiraf Baitulmuqaddis atau sebarang perubahan dalam sempadan sebelum 1967, adalah melanggar hak rakyat Palestin dan hak mereka untuk menentukan masa depan sendiri dan juga perlanggaran serius undang-undang antarabangsa dan resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu yang berkaitan, termasuk Resolusi 2334 (2016). "Pengiktirafan Al-Quds Al-Sharif sebagai ibu negara Israel adalah sama seperti menyemarakkan api peperangan terhadap situasi yang telahpun meruncing. Berbuat demikian juga merestui dasar pendudukan haram dan penindasan Israel, yang menyebabkan penderitaan teruk yang berlarutan kepada rakyat Palestin,” kata Najib. Beliau berkata isu Al-Quds Al-Sharif sentiasa dekat dalam hati rakyat Palestin dalam perjuangan mereka dan keputusan oleh Amerika Syarikat merupakan satu provokasi dan memberi kesan serius terhadap keselamatan rantau tersebut. “Ia telah membangkitkan sentimen rakyat Palestin dan umat Islam di seluruh dunia. Kita telah menyaksikan keganasan dan pergolakan akibat keputusan itu. Kita telah menyaksikan protes dan demonstrasi membantah keputusan tersebut termasuk di negara saya sendiri. Kita khuatir bahawa situasi ini menunggu masa untuk meledak ketika ketegangan terus memuncak di rantau itu," kata beliau. Najib berkata, sebagai sebuah organisasi yang mewakili lebih 1.6 bilion umat Islam, OIC tidak boleh bersikap tidak ambil peduli dan ia tidak harus terus membisu dalam menghadapi perkembangan yang tidak adil ini. "Suara kolektif kita tidak boleh diketepikan dan begitu juga suara-suara dan reaksi bantahan daripada masyarakat antarabangsa secara meluas,” kata beliau. “Kita mesti bekerjasama sebagai saudara Muslim seagama dan dengan komuniti antarabangsa, untuk memastikan kedudukan Al-Quds Al-Sharif dirundingkan dalam kerangka penyelesaian dua negara. Pada masa yang sama, kita harus berusaha untuk menghalang negara lain daripada mengikuti langkah yang sama mengisytiharkan bandar itu sebagai ibu negara Israel. Keimanan kita menyatukan kita dalam usaha ini dan kita tidak boleh bertolak-ansur dalam usaha secara kolektif untuk berjuang menuntut hak dan keadilan,” kata Najib. Perdana Menteri berkata kebuntuan dalam Proses Perdamaian di Timur Tengah memerlukan penyelesaian pragmatik berdasarkan undang-undang dan norma antarabangsa, dan berharap Amerika Syarikat boleh memberi sumbangan yang bermakna dengan langkah pertama menarik balik keputusannya itu dan yang kedua memikul tanggungjawab untuk membantu mencari penyelesaian yang komprehensif lagi berkekalan berdasarkan penyelesaian dua negara. "Kita harus ingat bahawa Al-Quds Al-Sharif adalah tempat suci bagi umat Islam dan juga tempat penting daripada segi agama untuk agama lain,” kata beliau. Najib berkata tempat-tempat suci ini mengingatkan kita bahawa bandar itu harus menjadi tempat yang aman untuk masyarakat dari agama yang berbeza, boleh berhimpun dan melakukan ibadat masing-masing dan oleh itu, kita harus melakukan segala yang mampu untuk memelihara keamanan di bandar itu dan memastikan akses kepada penganut dari semua agama. "Kita harus mengingatkan diri kita bahawa kita perlu bersatu dan bersuara melalui satu suara untuk memastikan bahawa sebarang usaha untuk menukarkan kedudukan dan status quo Al-Quds Al-Sharif yang bertentangandengan kehendak rakyat Palestin harus ditolak sepenuhnya," kata beliau. Sidang kemuncak luar biasa itu bertemakan “Tindakan Bersama dalam Semangat Perpaduan dengan Al-Quds” diadakan atas permintaan PresidenTurki, Recep Tayyip Erdogan atas sifat beliau selaku Pengerusi Sidang Kemuncak Islam Ke-13 berikutan pengumuman oleh Amerika Syarikat pada 6 Dis untuk mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel.-- Bernama