suria

Wang Kertas Peringatan Terbesar Di Dunia?

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V pada Khamis berkenan merasmikan wang kertas peringatan sempena ulang tahun ke-60 Perjanjian Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu, di Muzium dan Galeri Seni, Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia (BNM,) di sini.

Wang peringatan tersebut dikeluarkan oleh Bank Negara sebagai tanda penghormatan terhadap sumbangan Majlis (kemudiannya dikenali sebagai Persidangan) Raja-Raja yang merintis jalan ke arah kemerdekaan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957.

Wang berkenaan dikeluarkan dalam bentuk sekeping iaitu RM600 dengan nilai jualan RM1,700 sekeping; wang kertas bercantum tiga dalam satu RM60 yang dicantumkan menjadi RM180 dengan nilai jualan RM500 sekeping dan wang kertas sekeping RM60 dengan harga jualan RM120 sekeping.

Gabenor Bank Negara, Tan Sri Muhammad Ibrahim, dalam ucapannya berkata, wang kertas peringatan bersaiz 370 mm tinggi dan 220 mm lebar itu adalah wang kertas terbesar di dunia dengan reka bentuk berdasarkan ‘Raja Payung Kedaulatan Negara' dan ciri-ciri keselamatan lebih tinggi.

“Tempahan untuk wang kertas edisi khas ini akan bermula 5 Januari depan. Jika jumlah tempahan melebihi jumlah 6,000 keping yang ditawarkan, tempahan akan dilaksanakan mengikut undian,” kata beliau.

Pada majlis itu, Sultan Muhammad V turut berkenan melancarkan wang syiling peringatan sempena pertabalan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 yang dipersembahkan oleh Gabenor Bank Negara kepada baginda selain melawat Pameran Malaysia: 60 Cetera.

Duit syiling tersebut dikeluarkan dalam emas dengan nilai muka RM300 dan akan dijual melalui lelongan awam pada harga rizab RM4,000 sekeping, duit syiling peringatan perak (nilai muka RM150 dan harga jualan RM1,000 sekeping), duit syiling peringatan tembaga (nilai muka RM15 dan harga jualan RM200 sekeping) dan duit syiling peringatan emas Nordic (nilai muka RM1 dan harga jualan RM11 sekeping).

Ia akan dipamerkan kepada orang ramai mulai 21 Dis ini di Muzium dan Galeri Seni BNM dan pejabat-pejabat BNM di Pulau Pinang, Johor Bahru, Kota Kinabalu, Kuching dan Kuala Terengganu, yang mana orang ramai boleh membuat tempahan dalam talian mulai 5 Januari depan. - Bernama

wang kertas

Artikel Berikut

Ke Arah Memperkasa Wanita

Artikel Lain