suria

Nasi Lemak Udang Karang

GEORGE TOWN: Terdapat beberapa cara dalam penyediaan udang karang dan hidangan bersama keju makaroni mungkin menjadi kegemaran anda sekeluarga.

Namun ada yang suka ia dibakar manakala tidak kurang juga yang gemar ia dihidangkan bersama mentega cair.

Bagi Projek Nasi Lemak Box di Esplanade, udang karang itu digandingkan bersama dengan makanan kegemaran rakyat negara ini iaitu nasi lemak.

Udang karang yang dibakar bersama keju itu dihidangkan bersama dengan nasi beraroma yang dimasak dengan santan dan ditambah sedikit perwarna biru.

Selesai dimasak, ia dihidangkan di atas dulang rotan beralaskan daun pisang dengan ikan bilis, timun jeruk, kacang tanah, telur dan sambal untuk menambah selera pelanggan.

Wayne Chor, salah seorang daripada pengasas projek tersebut berkata udang karang tempatan yang mereka gunakan berkulit nipis tetapi isinya lebih padat dan enak berbanding udang karang import.

"Idea itu timbul untuk menjadikan udang karang boleh dimakan pada harga berpatutan. Kami mengurangkan kos pemasaran apabila menyebarkannya menerusi Facebook," katanya.

Wayne berkata 30 pelanggan pertama yang memesan nasi lemak udang karang itu hanya perlu membayar RM39, harga promosi untuk hari ini berbanding harga biasa RM69.

Selain udang karang, nasi lemak itu juga boleh dinikmati bersama lauk ayam, ikan, udang atau sotong.

Sejak dibuka pada Jumaat, pelanggan mula berkunjung ke gerai tersebut yang terletak berdekatan dengan Fort Cornwallis.

Nazian Zainal, 39, dari Sepang, datang ke gerai tersebut untuk menikmati makan tengah hari bersama keluarganya pada Sabtu.

"Kami tidak pernah mencuba nasi lemak udang karang sebelum ini. Jadi kami ingin mencuba memandangkan kami berada di Pulau Pinang pada hujung minggu dan ia amat menyelerakan.

"Kami sekeluarga amat menyukainya terutama jeruk timun dan juga sambal nasi lemak itu. Sudah tentu kami akan datang semula ke sini," katanya.

Artikel Sebelum

Pek DIY Tarik Perhatian

Artikel Lain