KUALA LUMPUR: Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim menafikan ibu pejabat polis Bukit Aman ada mengeluarkan amaran tentang perbuatan pengganas Daesh menyuntik virus HIV ke badan orang ramai. Ia kononnya dilakukan dengan mereka menyamar wakil dari kolej perubatan yang melakukan ujian gula dalam darah secara percuma. “Bukit Aman tidak pernah mengeluarkan mesej sedemikian saya harap orang ramai tidak percaya dengan mesej itu,” kata Noor Rashid ketika dihubungi pada Ahad berhubung mesej yang tular di laman sosial seperti WhatsApp . Beliau bagaimanapun meminta orang ramai supaya berhati-hati sekiranya dikunjungi individu tidak dikenali ketika berada di rumah bagi mengelak daripada menjadi mangsa jenayah samun, penipuan dan sebagainya. - Bernama