PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan berjumpa dengan pengacara kontroversi, Azwan Ali pada Rabu sehubungan dengan dakwaan personaliti itu terhadap abangnya, Datuk Seri Azmin Ali yang terlibat dengan rasuah. Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Razali Ibrahim berkata mengenai perkara tersebut selepas bertemu dengan Azwan yang merupakan adik kepada Menteri Besar Selangor itu di Parlimen pada Isnin. "Saya beritahu kepada beliau (Azwan), pihak terbaik untuk beliau failkan aduan adalah kepada SPRM. "Walaupun saya bertanggungjawab ke atas SPRM (hal ehwal), saya bukan berada di posisi yang membolehkan saya mengambil tindakan," kata beliau. Razali berkata, dalam tempoh dua jam pertemuannya dengan Azwan, pengacara itu turut cuba menunjukkan dokumen yang berkaitan dengan dakwaan rasuah tersebut, namun beliau menolak untuk mengkaji mengenai dokumen terbabit dengan berkata ia boleh menganggu sebarang proses siasatan pada masa akan datang. "Saya tidak mahu melihat dokumen itu kerana saya bukan badan agensi yang menyiasat hal tersebut. "Kita tidak perlu membuat spekulasi tentang apa-apa dan biarkan SPRM lakukan kerja mereka. Ia bukan tugas kita untuk menentukan sama ada bukti yang diberikan itu benar atau tidak," katanya. Razali berkata selepas pertemuan itu, beliau memberitahu pihak SPRM mengenai perkara itu dan mereka bersetuju untuk berjumpa dengan Azwan. "Mereka telah menetapkan Rabu ini untuk mengadakan pertemuan itu," kata beliau.