KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini membatalkan waran tangkap ke atas Naib Presiden PKR Tian Chua selepas gagal hadir tanpa alasan kukuh pada pengurusan kes rayuannya, Selasa. Hakim Datuk Mohd Sofian Abd Razak membuat keputusan itu selepas berpuas hati dengan penjelasan peguam Eric Paulsen yang mewakili Tian Chua bahawa terdapat salah faham antara mereka berhubung prosiding pada Selasa. Eric turut memohon maaf atas kegagalan pihak mereka untuk hadir semasa pengurusan kes itu, Selasa. Tian Chua atau nama sebenarnya Chua Tian Chang, 54, hadir pada prosiding hari ini (Rabu). Pada Selasa, Mahkamah Tinggi mengeluarkan perintah waran tangkap ke atas Tian Chua semasa pengurusan kes rayuannya terhadap hukuman penjara tiga bulan dan denda RM1,800 kerana mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan dalam satu ceramah, empat tahun lalu. Tian Chua yang juga Anggota Parlimen Batu merayu terhadap sabitan dan hukuman penjara tiga bulan dan denda RM1,800 yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen di sini pada 28 September 2016 selepas didapati bersalah atas tuduhan mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan itu. Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor di Nombor 1, Jalan Maharajalela, Dang Wangi di sini antara pukul 8.55 malam dan 11.15 malam, 13 Mei 2013. Sementara itu ketika ditemui pemberita, Eric menjelaskan bahawa memang ada surat untuk memastikan kehadiran wajib Tian Chua, namun terdapat salah faham dan pihak peguam tidak memaklumkan perkara itu kepada Tian Chua. "Saya hanya maklumkan kepada mahkamah ini adalah salah faham kerana kes Tian Chua sebelum ini disebut di hadapan Timbalan Pendaftar dan semalam (Selasa) adalah kali pertama kes ini disebut di hadapan hakim. “Semalam (Selasa) juga peguam kami datang lambat, jadi sebab itu waran tangkap dikeluarkan,” katanya. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Zain Ibrahim. Mahkamah menetapkan 18 Januari 2018 untuk sebutan semula kes. - BERNAMA