suria

Tiga Beradik Rayu Bantuan Persekolahan

Gambar hiasan sekolah.

KULIM: Bagaikan jatuh di timpa tangga, tiga beradik yang kematian ayah pada tahun lepas kini kehilangan punca untuk meneruskan persekolahan berikutan masalah kewangan, lebih-lebih lagi ibu mereka turut ditimpa sakit kronik baru-baru ini.

Pasangan kembar, Amirul Hasani Mohd Rafie dan Amirul Husaini, 15, serta adik mereka, Amirul Hasmawi, 14, bagaikan hilang arah apabila mereka kehilangan tempat bergantung dan hanya berharap pada  bantuan bulanan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) arwah bapa mereka, Mohd Rafie Abdul Aziz berjumlah RM500 sebulan.

Amirul Husaini yang tinggal di sebuah rumah anak yatim di Kupang, Baling berkata, adiknya, Amirul  Hasmawi, sepatutnya mendaftar sesi persekolahannya pada Rabu namun kekangan kewangan menyebabkan keluarga itu mungkin tidak mampu untuk membayar yuran persekolahan.

“Sejak ayah saya meninggal akibat sakit buat pinggang hidup kami susah...kembar saya Amirul Hasani, turut tidak dapat menyambung persekolahan kerana masalah yang sama,” katanya ketika ditemui Bernama di Desa Aman pada Selasa.

Ibu mereka, Fadilahwati Tazuddin, 39, pula tidak boleh berjalan selepas tulang sendi pahanya rosak selain mengalami penyakit batu karang.

“Sebelum ini saya hanya berniaga kuih namun sejak sakit terpaksalah kami sekeluarga bergantung harap pada duit Perkeso suami...dengan duit itulah saya buat belanja harian, serta mendapatkan rawatan di hospital,” katanya.

Adik Fadilahwati, Mohd Saiful Tazuddin, 23, yang menetap bersama mereka dan membantu menguruskan dirinya sekarang pernah meminta bantuan daripada Lembaga Zakat Negeri Kedah dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kulim namun masih tiada maklum balas.

"Saya harap sangat bantuan itu untuk selesai hal persekolahan anak-anak terutama yang kembar sebab mereka nak ambil peperiksaan PT3 (Pentaksiran Tingkatan 3) tahun hadapan,” katanya.

Dia turut berharap agar mendapat sumbangan pihak tertentu bagi pembedahan memasukkan besi di kakinya yang dianggarkan berjumlah RM11,000. -Bernama

Keluarga susah, tiga beradik

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain