PETALING JAYA: Selepas kisah empat sekeluarga yang terpaksa tinggal di koridor sebuah pangsapuri kos rendah selama dua hari menerima liputan media tempatan, tampil seorang individu yang enggan dikenali memberikan sinar baharu buat mereka. Keluarga tersebut yang dihalau keluar kerana mempunyai tunggakkan sewa sebanyak RM900 ditawarkan untuk tinggal di blok C pangsapuri yang sama pada petang Rabu. Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Padang Tembak, Loh Eng Kim berkata, individu tersebut yang simpati dengan nasib yang menimpa keluarga itu menawarkan mereka untuk tinggal di unit tersebut, sementara Persatuan Kebajikan YSYS pula akan membayarkan sewa bagi pihak mereka selama enam bulan. Kediaman baharu buat Say Chye sekeluarga. "Selain mendapat rumah untuk berteduh, terdapat seorang lagi individu yang menawarkan pekerjaan sebagai penjaga gerai kuih-muih kepada Looi Say Chye. "Orang tersebut tawarkan gaji sebanyak RM1,200 kepadanya untuk membantu meringankan beban keluarga itu," kata Eng Kim ketika dihubungi mStar Online pada Rabu di sini. Menurut Eng Kim, kadar sewa bagi seunit rumah di Rumah Pangsa Rifle Range adalah sekitar RM350 sebulan. Tambahnya, beliau mengetahui tentang masalah tersebut selepas diberitahu penduduk setempat yang prihatin dengan keadaan mereka sekeluarga. Eng Kim bukan sahaja lega, malahan berasa gembira apabila keluarga tersebut dapat berpindah ke rumah baharu. Memetik laporan The Star, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kebun Bunga Cheah Kah Peng berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut memberi wang sumbangan sebanyak RM300 sebagai bantuan awal buat keluarga tersebut.