JOHOR BAHRU: Seorang lelaki rentung apabila kereta dipandunya terbakar dalam kemalangan di Km 41.2 Lebuhraya Utara Selatan, arah selatan, berhampiran Kulai, pagi Rabu. Difahamkan, mangsa dikenali sebagai Muhammad Rusdi Yakob, 29, namun, identiti sebenar belum dapat disahkan berikutan dokumen pengenalan dirinya gagal diperoleh akibat kenderaan yang terbakar keseluruhan. Ketua Polis Daerah Kulai Supt Dzulkhairi Mukhtar berkata kemalangan berlaku pada 5.55 pagi itu turut mencederakan isteri mangsa, Salwa Atasa Arani, 30, beralamat di Bandar Universiti Seri Iskandar, Perak, manakala anak perempuannya yang berumur tiga tahun tidak cedera. "Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kereta jenis Proton Persona dipandu mangsa dipercayai melanggar belakang sebuah lori atau treler berdasarkan kesan remuk di bahagian hadapan kereta tersebut. "Ekoran itu, kereta dinaiki sekeluarga itu terbakar dengan mangsa dipercayai tersepit dan terperangkap di dalam kenderaan yang sedang terbakar manakala isteri dan anaknya yang berada di tempat duduk belakang dikeluarkan oleh pengguna jalan raya yang lalu di kawasan berkenaan," katanya dalam kenyataan. Dzulkhairi berkata mangsa kemudian dikeluarkan dari kenderaan oleh pihak bomba selepas api dipadamkan dan dibawa ke Hospital Temenggung Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulai, untuk bedah siasat. Beliau berkata isteri dan anaknya turut dibawa ke hospital sama untuk pemeriksaan. Katanya siasatan mendapati kemalangan berlaku di lorong kiri jalan dan keadaan jalan raya adalah basah akibat hujan. Siasatan lanjut kemalangan terbabit sedang dilakukan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, katanya. - Bernama