KUANTAN: Tiga anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan seorang anggota bomba sukarela berdepan detik cemas apabila terperangkap lebih sejam selepas jambatan Kampung Hayat di Simpang Pelangai, Bentong runtuh akibat arus deras, awal pagi Jumaat. Mohd Yasin Mohd Yusof, 30, yang memandu kenderaan jenis Land Rover milik APM berkata kejadian berlaku pada pukul 4.30 pagi semasa mereka diarahkan membuat pemantauan ekoran banjir kilat yang melanda tiga kampung di Pelangai sejak tengah malam Khamis. Katanya mereka baharu selesai menyeberangi jambatan itu, apabila terpaksa berhenti di hujungnya kerana jalan ke kampung tersebut tidak selamat untuk dilalui ekoran sudah dinaiki air separas pinggang, selain arus deras. "Saya membuat keputusan untuk berpatah semula ke belakang dan menggunakan satu lagi laluan ke Kampung Hayat. Bagaimanapun semasa melihat ke belakang, saya nampak jambatan semakin hilang sebelum sedar, ia sebenarnya sudah runtuh. "Saya beritahu mereka yang di dalam kenderaan. Kami tidak boleh bergerak kerana di hadapan air juga laju. Jadi kami ambil keputusan untuk tunggu hingga air reda sedikit sebelum meneruskan perjalanan," katanya. Mohd Yasin berkata sepanjang terperangkap, mereka mengambil giliran untuk memantau keadaan air di hadapan dan belakang kenderaan itu, sambil masing-masing cuba untuk menenangkan satu sama lain supaya tidak panik. Beliau yang telah setahun lebih menyertai APM sudah terdetik dalam fikiran, seolah-olah jambatan itu kelihatan 'lebih rendah' daripada biasa semasa melaluinya. “Tidak boleh bayangkan jika ia runtuh semasa kami berada di atasnya kerana arus sangat deras. Malah semasa terperangkap, ada juga beberapa kali saya terfikir apa akan jadi jika air terus meningkat adakah kami akan dibawa arus bersama-sama kenderaan? "Tapi saya ingatkan diri supaya terus bertenang. Ada tiga nyawa yang berada dalam tanggungjawab saya. Saya tahu kami kena bersabar. Saya terus berdoa supaya kawasan yang hanya muat-muat untuk sebuah Land Rover berada tidak dinaiki air," katanya. Mohd Yasin berkata air dilihat semakin tenang dan reda ketika hampir 6 pagi dan mereka membuat keputusan untuk meredah air ke Kampung Hayat selepas berbincang sesama sendiri. "Sangat bersyukur bila dapat keluar dari kawasan itu...saya perhatikan semua pun sebenarnya menarik nafas lega. Selepas berpuas hati tiada kerosakan dan semua sudah bertenang, kami terus menyambung tugas membuat pemantauan," katanya. Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Bentong Mohd Zulkhairi Adek Awang berkata jambatan itu runtuh apabila tebing sungai yang memegang struktur jambatan tersebut runtuh dibawa arus deras. Katanya keadaan itu telah dimaklumkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk tindakan selanjutnya pagi Jumaat. - BERNAMA