suria

Rapid Rail Lancar Set Empat Gerabak Pertama

KUALA LUMPUR: Rapid Rail Sdn Bhd, anak syarikat Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) melancarkan tren empat gerabak pertamanya, hasil cantuman set dua gerabak menerusi projek Mid-Life Refurbishment (MLR).

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Zohari Sulaiman berkata tren empat gerabak itu akan memastikan keselesaan dan waktu menunggu singkat untuk penumpang bersama ciri-ciri  tambahan.

“Setelah menamatkan sesi ujian 2,000 kilometer dan pentauliahan bagi perkhidmatan dan menampilkan ciri-ciri tambahan baharu, tren empat gerabak memulakan perkhidmatannya beberapa jam selepas percubaan  praoperasi  terakhir dijalankan anggota utama pasukan projek daripada Pengurusan Bersepadu dan Perkhidmatan Kejuruteraan Prasarana,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Zohari dan Datin Norlia Noah bergambar di hadapan skrin infotainment yang menunjukkan ciri baharu gerabak tersebut. - Bernama

Zohari berkata projek itu antaranya melibatkan baik pulih, pembaikan, kerja-kerja menaik taraf dan menggabungkan 34 set tren dua gerabak kepada 17 set tren empat gerabak.

“Kami memotong bahagian depan tren dua gerabak dan mencantumkannya menjadi tren empat gerabak bersama ciri-ciri  baharu dan cantuman kereta api empat gerabak lain akan disiapkan secara berperingkat antara 2018 dan 2020.

“Menjelang 2020, jajaran LRT Kelana Jaya Rapid KL akan menggunakan perkhidmatan tren empat gerabak sepenuhnya,” katanya.

Tren baharu ini juga  dilengkapi sistem pelincir rel yang dipertingkatkan bagi mengurangkan bunyi bising  di antara rel dan juga permukaan roda, pencahayaan LED baharu dan juga sistem maklumat penumpang untuk infotainment, empat unit CCTV dan kawasan berkerusi roda khusus untuk penumpang kelainan upaya dalam setiap gerabak. - Bernama

Rapid Rail

Artikel Sebelum

Dr M Minta Maaf Kesilapan Lalu

Artikel Berikut

Senyum Dalam Tangis

Artikel Lain