suria

'Pramugari Kilang Besi' Hilang Jari

Keadaan jari Sally selepas dua hari mengalami kemalangan di kilang (kiri). Keadaan terkini jarinya (kanan).

PETALING JAYA: Memiliki raut wajah yang jelita menjadikan wanita ini mudah diambil bekerja sebagai pramugari di sebuah syarikat penerbangan negara ini.

Peluang untuk bekerja di awan biru membolehkan Sally (bukan nama sebenar) mengembara ke beberapa destinasi pelancongan di dalam dan luar negara setiap kali bertugas.

Namun, semua itu hanya sementara apabila Sally terpaksa mencari pekerjaan baharu selepas syarikat penerbangan tersebut berdepan masalah hingga terpaksa memberhentikan ramai kakitangan.

Ketika dia buntu mencari pekerjaan baharu untuk menyara diri dan keluarga, wanita berusia 26 tahun itu sudah mula menarik nafas lega apabila mengetahui mengenai peluang pekerjaan yang menawarkan gaji lumayan di Korea Selatan.

"Masalah yang dihadapi menyebabkan saya saja nak cuba sebab di Korea ni katanya boleh dapat gaji antara RM7,000 ke RM12,000 sebulan. Jadi, saya tak fikir panjang," katanya dalam satu temubual mStar Online.

Sally yang mula merantau ke Korea sejak Oktober 2016 terpaksa membayar sebanyak RM5,000 kepada seorang ejen yang berjanji untuk mendapatkannya pekerjaan di negara K-pop itu.

Wanita itu mendakwa pada mulanya dia memperolehi gaji seperti yang dijanjikan pihak ejen, namun semuanya hanya sementara apabila dia ditimpa kecelakaan sehingga menyebabkan jari tangan kanannya kudung.

ARTIKEL BERKAITAN: Kudung 'Digoda' Won Korea

Antara mangsa yang ditemubual di Korea Selatan baru-baru ini.

"Pihak kilang tidak memberi taklimat tentang keselamatan dan mesin di kilang itu tidak mempunyai 'sensor'.

"Saya terkejut ketika dengar bunyi yang sangat kuat dan tidak sedar tangan saya sebenarnya dah kena hempap dengan mesin itu," jelasnya yang mengalami kemalangan itu di sebuah kilang besi.

Kata Sally, sepanjang di negara itu, dia beberapa kali bertukar tempat kerja dan pernah bertugas di syarikat kosmetik Korea Selatan.

Sally yang kini masih berada di sana diberikan visa perubatan oleh negara itu bagi memudahkan dia menjalani pemeriksaan kesihatan.

Bagaimanapun Sally bernasib baik kerana pihak majikan tidak lepas tangan, sebaliknya membawanya ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Pada masa sama, wanita ini tetap mendapat bantuan sukarelawan Malaysia di negara itu bagi memastikan haknya sebagai pekerja terpelihara sehingga kes itu selesai.

Lokasi kilang tempat Aizat mengalami kecederaan yang menyebabkan tangannya tersepit di dalam mesin.

Sementara itu, seorang lagi mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Aizat, 23, turut mengalami nasib sama seperti Sally dan kehilangan empat jari disebabkan tangannya tersekat di dalam sebuah mesin yang tiba-tiba berubah mod operasi.

"Mesin itu perlu dikendalikan secara manual, tetapi tiba-tiba berubah menjadi automatik ketika saya sedang menggunakannya.

"Saya cuba mengeluarkan tangan, tapi tangan saya tersepit dua kali di dalam mesin itu," katanya yang mendakwa tidak diberikan latihan tentang keselamatan dan hanya diberikan sepasang sarung tangan untuk bekerja di kilang besi.

Dakwa Aizat, dia terlantar selama sebulan di hospital dan terpaksa pulang ke Malaysia kerana khuatir akan ditahan pihak berkuasa kerana tidak memiliki permit kerja dan dokumen perjalanan yang sah.

kerja Korea Selatan, buruh haram

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain