suria

"Bantu Buruh Haram, Jangan Biar Terkapai-Kapai"

PETALING JAYA: Situasi yang menimpa rakyat Malaysia yang bekerja sebagai buruh haram di Korea Selatan tidak harus dipandang sepi dan mereka perlu menerima pembelaan sewajarnya atas dasar kemanusiaan.

Pengakuan demi pengakuan tentang penindasan yang dialami mangsa berjaya menarik perhatian badan bukan kerajaan (NGO), Persatuan Orang Kota Bharu (POKB) untuk menjadi penyelaras bagi melancarkan Misi Tabung Kemanusiaan Rakyat Malaysia Di Korea Selatan.

Presidennya, Datuk Sheikh Ahmad Dusuki Sheikh Mohamad berkata, pihaknya bersedia menjadi penyelaras yang akan menggerakkan bantuan untuk disalurkan kepada rakyat Malaysia yang memerlukan pertolongan dari segi kewangan dan makanan, juga tiket penerbangan untuk membawa mereka pulang.

“Saya terkejut apabila mengetahui tentang perkara ini. Biarpun perbuatan mereka bekerja menggunakan visa pelancong itu menyalahi undang-undang, namun ia tidak bermakna mereka perlu dibiarkan menanggung risiko sendirian.

“Kita akan bantu atas dasar kemanusiaan dan kesilapan mereka bukannya melibatkan dadah. Tapi, membiarkan mereka terkapai-kapai tanpa bantuan itu sedikit sebanyak mencalarkan maruah negara,” katanya ketika dihubungi mStar Online pada Selasa.

Sheikh Ahmad Dusuki berkata demikian ketika mengulas mengenai dilema rakyat Malaysia yang ditindas oleh majikan di Korea Selatan gara-gara bekerja tanpa permit yang sah menggunakan visa pelancong.

Sheikh Ahmad Dusuki aktif dalam pelbagai aktiviti kebajikan dan kemanusiaan melangkaui sempadan negeri Kelantan.

mStar Online pada Ahad melaporkan, terdapat mangsa yang pulang ke Malaysia dengan tangan kosong, malahan mengalami kecacatan kekal kerana kemalangan di tempat kerja tanpa mengetahui mereka berhak mendapatkan bantuan dan pampasan daripada majikan.

Buat masa ini, seorang aktivis kemanusiaan Malaysia yang dikenali sebagai Z Hilmi bekerja dengan seorang sukarelawan Maghribi di Korea Selatan dalam usaha memperjuangkan nasib mangsa sehingga kes mereka berjaya diselesaikan.

Mereka menyediakan tempat tinggal sementara buat mangsa yang perlu berulang-alik mendapatkan rawatan di hospital.

Selain itu, aktivis tersebut turut mengadakan perbincangan dengan pihak majikan dan berurusan dengan pejabat buruh untuk memastikan hak mangsa dikembalikan.

Difahamkan, kini terdapat kira-kira 300 rakyat Malaysia telah menjadi mangsa di negara itu dan ia melibatkan sebanyak 87 kes dalam tempoh dua tahun.

Antaranya melibatkan kes putus jari, patah kaki, patah tangan, cedera akibat terkena asid, dipukul dan didera majikan serta tidak dibayar gaji.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

3 Minit, RM1.5 Juta Lesap

Artikel Lain