KUANTAN: Seorang remaja yang terjatuh ke dalam air separas lutut di Kampung Tiram di sini, dipercayai akibat serangan sawan menjadi mangsa kedua banjir di Pahang. Ketua Polis Pahang Datuk Seri Rosli Ab Rahman berkata mangsa Muhammad Al Asyraf Danial Mohd Al Asadi, 17, ditemukan di hadapan sebuah rumah di Lorong Anggerik, kampung itu pada 1 pagi tadi. Beliau berkata mangsa difahamkan ke rumah rakannya di situ dan membuat keputusan untuk berjalan kaki pulang ke rumah keluarganya yang terletak berhampiran. "Mangsa dipercayai diserang sawan menyebabkan dia terjatuh, bagaimanapun tiada siapa yang melihat kejadian itu hingga penduduk kampung menemukan mayatnya. "Mereka menghubungi bomba yang kemudiannya membawa mangsa ke Hospital Tengku Ampuan Afazan (HTAA), yang mana dia disahkan sudah meninggal dunia," katanya ketika ditemui pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini, Khamis. Pada Rabu, Muhammad Faris Aqeel Mohd Afif, 7, menjadi korban pertama banjir Pahang tahun ini, selepas mayatnya ditemukan dalam longkang di sawah padi berhampiran rumahnya di Kampung Padang Jaya, Sungai Lembing di sini. -Bernama