suria

Terkandas 9 Jam: Sepatutnya Ada Budi Bicara - Rohani

Rohani Abdul Karim.

PETALING JAYA: Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, sepatutnya pihak berwajib melaksanakan penyelesaian secara budi bicara berhubung isu seorang kanak-kanak perempuan berumur 12 tahun terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), Ahad lalu.

Merujuk kes sebuah keluarga yang mana seorang daripada anak mereka tidak dibenarkan berlepas pulang melalui penerbangan dari KLIA2  ke  Kuching, Sarawak kerana kehilangan kad MyKid, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu melahirkan rasa empati terhadap permasalahan serta kesulitan yang  mereka lalui. 

“Malaysia Aiport Holdings Bhd (MAHB) dan agensi terlibat seharusnya menyelesaikan isu berkenaan dengan budi bicara bersama keluarga kanak-kanak itu tanpa melanggar prosedur operasi standard (SOP).

“Sehubungan itu, penjelasan dan tindakan sewajarnya daripada pihak berkenaan mampu menyelesaikan isu ini secara baik serta mencegah salah faham yang mungkin timbul,” katanya kepada mStar Online.

Bagaimanapun Rohani memberitahu, secara umumnya, kanak-kanak tidak boleh ditinggalkan keseorangan tanpa pengawasan ibu bapa atau penjaga. 

“Ibu bapa mempunyai tanggungjawab untuk melindungi dan memastikan keselamatan kanak-kanak,” tambah beliau.

Wan Fadillah Wan Ahmad (kiri) bersama anak perempuannya yang kehilangan kad MyKid.

Dilaporkan, bapa kanak-kanak itu membuat laporan polis di KLIA2 namun anaknya tidak dibenarkan melepasi pemeriksaan keselamatan walaupun sudah menunjukkan laporan polis, salinan pasport dan salinan sijil surat beranak.

Pada Selasa, mStar Online melaporkan seorang bapa yang kesal dengan insiden itu mendakwa pegawai polis bantuan MAHB langsung tidak menawarkan bantuan atau perlindungan kepada anak perempuannya sementara dia pulang ke Kuching untuk mendapatkan pasport anaknya sebagai pengesahan.

Bapa kanak-kanak berkenaan, Wan Fadillah Wan Ahmad, 37, berkata, anaknya dijaga oleh rakan kepada ibu mertuanya yang datang ke KLIA2 untuk bertemu mereka sebelum berlepas.

ARTIKEL BERKAITAN: Terkandas 9 Jam: “Bukan Polis Bantuan, Orang Luar Yang Bantu”

Sementara itu, jurucakap MAHB berkata, ibu bapa kepada kanak-kanak 12 tahun itu seharusnya mencari penyelesaian terbaik berikutan kehilangan Mykid milik anak mereka.

Jelasnya, polis bantuan MAHB berperanan untuk memeriksa dokumen pengenalan yang sah bagi memberi kebenaran untuk melepasi pemeriksaan keselamatan sebelum menaiki pesawat, dan pengendali lapangan terbang itu mengutamakan protokol keselamatan.

“Sehubungan itu, dalam kes keluarga berkenaan, ibu bapa kepada kanak-kanak itu seharusnya tidak meninggalkan anak mereka sehingga urusan membabitkan dokumen pengenalan tersebut dapat diselesaikan.

“Cara ini dapat dilakukan sama ada mereka perlu mendapatkan pengesahan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) berhubung dokumen pengenalan anak mereka atau membuat kurier pasport dari Kuching ke Kuala Lumpur,” ujar jurucakap itu.

Wan Fadillah (kanan) bersama anaknya selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada awal pagi Isnin.

ARTIKEL BERKAITAN: Terkandas 9 Jam: “Imigresen Boleh Bantu Semak Tapi...”

Pada Isnin, MAHB dalam kenyataannya berkata, keutamaan Keselamatan Penerbangan (AVSEC) adalah untuk memastikan protokol keselamatan dilaksanakan menurut peraturan ditetapkan Jabatan Penerbangan  Awam Malaysia (DCA), Jabatan Imigresen Malaysia dan Polis Diraja Malaysia.

"Protokol keselamatan yang ketat ini juga sejajar dengan Program Keselamatan Penerbangan Awam Kebangsaan (NCASP) yang mana hanya dokumen perjalanan dan pengenalan asal dibenarkan untuk menaiki pesawat,” katanya. 

MAHB berkata, walaupun memahami kesukaran yang dihadapi ibu bapa dan kanak-kanak terbabit, pihaknya tidak dapat berkompromi dalam hal ini kerana langkah-langkah sudah disediakan bagi keselamatan lapangan terbang untuk melindungi pintu masuk negara terhadap akses yang tidak selamat, untuk keselamatan individu serta syarikat penerbangan.

“Adalah menjadi tugas kami untuk memastikan semua pengembara mempunyai dokumen perjalanan sebelum mereka dibenarkan menaiki sebarang pesawat. Kami memohon pemahaman orang awam mengenai peranan kami dalam melindungi keselamatan lapangan terbang,” kata kenyataan itu.

Rohani Abdul Karim, MAHB, KLIA2

Artikel Sebelum

Azmin Ali Tanding Shah Alam?

Artikel Berikut

Artikel Lain