suria

Firma AS Sah Cari MH370

KUALA LUMPUR: Malaysia menerima tawaran firma perkapalan Amerika Syarikat (AS), Ocean Infinity untuk meneruskan operasi mencari pesawat Malaysia Airline MH370 di Lautan Hindi.

Perkara itu disahkan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai pada Sabtu.

Beliau juga memaklumkan kontrak untuk membolehkan Seabed Constructor memulakan operasi akan ditandatangani minggu depan.

"Tawaran Ocean Infinity menetapkan bayaran hanya akan dibuat jika rangka pesawat itu ditemui.

"Ini bermakna firma itu sedia mencari di kawasan seluas 25,000 kilometer persegi seperti yang ditetapkan kumpulan pakar berhampiran perairan Australia," katanya.

Bagaimanapun, tambah Tiong Lai, beliau tidak mahu memberi harapan tinggi kepada keluarga mangsa.

Yang pasti katanya, ia membuktikan komitmen kerajaan untuk meneruskan pencarian pesawat itu seperti mana yang dinyatakan sebelum ini.

Kehilangan pesawat dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Beijing pada Mac 2014 dengan 239 penumpang dan kru masih menjadi misteri.

Setakat ini, Australia, China dan Malaysia membelanjakan A$200 juta untuk tujuan mencari pesawat itu.

Pada Oktober lalu, Malaysia memaklumkan pihaknya sedang berunding dengan Ocean Infinity untuk meneruskan usaha mencari di mana firma ini hanya akan dibayar jika pesawat itu ditemui.

"Ocean Infinity diharap memperoleh kontrak untuk meneruskan usaha mencari MH370 dalam masa terdekat.

"Kapal kami dalam proses untuk ke lokasi pencarian sekarang kerana kontrak dijangka diperoleh dalam masa dua minggu dari sekarang," kata jurucakap firma itu kepada Reuters baru-baru ini.

Data perkapalan Reuters pula mendapati, Seabed Constructor memulakan perjalanan dari Durban, Afrika Selatan pada Selasa ke Perth, Australia dan dijangka tiba pada 7 Februari.

MH370, Tiong Lai

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Anwar Bebas 11 Jun?

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan