PETALING JAYA: Trend menunjuk-nunjuk kemewahan bukan lagi perkara baharu dalam zaman media sosial hari ini, malah fenomena itu turut menjangkiti golongan selebriti dan usahawan berjaya tanah air. Baru-baru ini, jutawan kosmetik Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman dikecam teruk oleh netizen gara-gara perbuatannya memuat naik video beliau mengira wang tunai hasil kutipan jualan cuci gudang yang bernilai hampir RM500,000. Perbuatan tersebut turut mendapat perhatian seorang agamawan yang mengambil pendekatan membuat teguran secara terbuka terhadap jutawan itu melalui laman Facebook. Bagaimanapun, teguran itu telah menimbulkan salah faham dalam kalangan netizen yang beranggapan bahawa Yang Dipertua Yayasan Ar-Riyaadah itu telah menyamakan usahawan yang dikenali sebagai 'Abang Terlajak Laris' itu dengan Firaun. Posting yang dimuat naik oleh Ahmad Husam pada Ahad lalu. Ahmad Husam Sheikh Muhamad Baderudin ketika dihubungi mStar Online menafikan dakwaan itu dengan menyatakan teguran dibuat atas dasar sayang kepada saudara seagama dan berniat ingin memberi peringatan agar berpada-pada dalam menunjukkan kemewahan yang dipinjamkan sementara oleh Allah. "Sendi Islam itu berjalan dengan amalan nasihat menasihati dan teguran boleh dilakukan secara terbuka dan tertutup. "Saya tidak mahu apa yang pernah ditimpakan ke atas Firaun, Qorun dan Syadad berlaku terhadapnya kerana kekayaan yang dimiliki beliau sebenarnya ada manfaat terhadap agama Islam," katanya, Rabu. Posting tersebut telah dikongsikan sebanyak 385 kali dan menerima lebih 2,300 tanda suka sejak ia dimuat naik pada Ahad. Aliff Syukri ditegur agar berpada-pada dalam menayangkan kemewahannya. Firaun merupakan gelaran yang merujuk kepada pemerintah Mesir yang ditelan Laut Merah bersama para pengikutnya ketika ingin mengejar Nabi Musa. Manakala Qorun pula merupakan sepupu baginda yang tidak mempedulikan nasihat kaumnya untuk tidak bermegah-megah dengan kemewahan yang dimiliki sehingga dia akhirnya terbenam dalam perut bumi bersama segala harta kekayaannya. Jelas Ahmad Husam, beliau turut bersedia untuk berjumpa dengan Aliff Syukri untuk menegur secara berdepan jika usahawan berusia 31 tahun itu sudi bertemu dengannya. Ahmad Husam. "Ada yang minta saya tegur dia secara peribadi, tetapi tiada cara untuk kami berhubung. "Jika saya hantar pesanan peribadi melalui Facebook atau Instagram, mungkin dia baca atau terlepas pandang. Jadi, ini sahaja saluran yang saya ada," katanya. Katanya lagi, menurut pandangan ulama, jika sesuatu kesalahan dilakukan secara terbuka, teguran wajib dilakukan secara terbuka juga. Untuk rekod, Aliff Syukri pernah dilaporkan mengalami kerugian lebih RM100,000 di Sepanyol ketika terlibat dalam penggambaran video muzik lagu 'Abang Nak Tegur'. Kereta mewah jenis Rolls Royce milik pengasas D'Herbs itu juga pernah disita oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur di Jalan Bangsar pada 1 Januari lalu. Beliau juga pernah tular dengan isu tiga pembantu rumahnya bersama seorang tukang kebun mencuri wang, jam dan cincin dengan nilai keseluruhan RM100,000.