suria

“Mak Maafkan Adik”

Mea’ah terpaksa mendapatkan bantuan jiran selepas cedera dipukul anaknya dengan batang besi mesin pemotong rumput.

KUANTAN: “Adik, mak maafkan adik..." demikian kata-kata luahan seorang ibu, Mea’ah Abdul Majid, 64, kepada anaknya, Mohd Rafi Ab Aziz, 25, yang dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kuantan, pada Selasa selepas mengaku bersalah memukulnya menggunakan batang besi mesin pemotong rumput pada 4 Januari lalu.

Mea’ah berkata, keadaan kesihatannya tidak mengizinkan dia bertemu anak bongsu dari enam beradik itu yang lebih mesra dengan panggilan manja ‘Adik’.

“Siapa tak sayangkan anak. Kucing pun sayangkan anaknya, macam tulah saya. Tapi saya dah maafkan dia (Mohd Rafi).

“Buat masa ni, saya tak sihat lagi. Luka di kepala masih belum baik. Insya-ALLAH saya akan melawat Adik di penjara bila dah betul-betul sihat," katanya ketika ditemui di rumahnya di Felda Bukit Sagu 3 di sini, Rabu.

Ketika perbualan dengan Sinar Harian berlangsung, Mea’ah juga sedang membaca kisah permohonan maaf anaknya yang disiarkan di sebuah akhbar tempatan.

Katanya, dia sebak Adik sanggup merayu kepada hakim untuk bertemunya selepas insiden tersebut.

"Saya tak dapat datang jumpa Adik di mahkamah sebab masih belum sihat sepenuhnya," katanya.

Kali pertama Adik jadi agresif

Menurut Mea'ah, Adik memang anak yang baik dan rajin membantunya, namun pada hari kejadian, dia mengesyaki anaknya tidak dapat mengawal emosi kerana berada di bawah pengaruh dadah.

Katanya, sebelum ini, Adik tidak pernah bertindak agresif namun pada hari kejadian dia bertukar ganas selepas tidak mendapat wang seperti yang diminta.

“Khamis lepas dia ada minta duit dengan saya. Saya bagi RM30. Tak lama lepas tu dia datang minta lagi. Saya pun tambah RM5.

“Lepas tu dia balik sekali lagi ke rumah, saya tengah tengok tv. Dia minta duit lagi, saya cakap dah tak ada. Terus dia baling parang kat saya tapi mujur tak kena.

“Beberapa minit lepas tu, saya tengok dia ambil mesin pemotong rumput, baling ke arah saya dan piringnya terkena kepala dan darah terus mencurah-curah keluar," katanya ketika mengenang insiden tersebut.

Tambahnya, selepas itu Adik kelihatan panik dan terus meminta tolong daripada jiran mengatakan ibunya sakit.

“Lepas tu dia lari entah ke mana. Saya cuba gagahkan diri keluar rumah nak dapatkan bantuan daripada jiran," katanya.

Menurut Mea’ah, akibat peristiwa itu, dia menerima tiga jahitan di kepala dan bersyukur kerana tidak mengalami kecederaan teruk.

Niat beri keinsafan

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung, Felda Bukit Sagu, Maznan Pazil berkata, dia menerima aduan mengenai kejadian tersebut daripada jiran Mea’ah dan segera menghubungi ambulans kerana keadaan warga emas itu yang berlumuran darah.

“Bila ambulans sampai, saya segera mengekori ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk pastikan Mea’ah dalam keadaan stabil. Selepas itu saya membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut.

“Niat saya nak pastikan semua penduduk kampung ini berada dalam keadaan aman dan selamat daripada bahaya termasuk Mea’ah. Saya buat laporan polis tu supaya dapat memberi keinsafan dan mahu Rafi berubah kepada yang lebih baik, dan tiada niat lain,” katanya.

Katanya, dia mengenali Mohd Rafi yang melakukan kerja-kerja memotong rumput di rumahnya.

"Selalunya dia biasa saja macam budak baik. Rafi pukul ibunya mungkin disebabkan pengaruh dadah, dia tak sedar," katanya.

Beliau bagaimanapun berharap, hukuman penjara yang dijalani Mohd Rafi itu memberi seribu keinsafan buat dirinya.

Sebelum itu, Sinar Harian melaporkan, Mohd Rafi mengaku bersalah mencederakan ibunya dengan menghentak bahagian kepala wanita itu menggunakan batang besi mesin rumput sehingga menerima tiga jahitan.

Dia melakukan kesalahan itu di rumahnya di Felda Bukit Sagu 1, pukul 5 petang, 4 Januari lalu.

Hakim menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun bermula dari tarikh tangkap dan tiga kali sebatan.

Selepas prosiding tamat, tertuduh menangis di kerusi mahkamah sambil memberi tahu hasratnya mahu menatap wajah ibunya buat kali terakhir sebelum menjalani hukuman penjara. - Sinar Online

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain