suria

Menteri Tidak Arah, Penjara Tidak Terima Permohonan Melawat

PUTRAJAYA: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku Menteri Dalam Negeri  tidak memberi arahan untuk menghalang Tun Dr Mahathir Mohamad berjumpa Datuk Seri Dr Anwar Ibrahim di Hospital Rehabilitasi Cheras, Kuala Lumpur, Rabu.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata ini berikutan lawatan sebegini memerlukan permohonan dan kelulusannya terletak pada budi bicara pihak penjara.

“Saya tidak menyentuh perkara-perkara operational. Maknanya, bukan kerana (arahan) menteri. Kuasa itu ada pada dia (Pengarah Penjara Sungai Buloh),” katanya dalam sidang media  selepas menghadiri  perhimpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini, Khamis.

Anwar, 71, sedang menjalani hukuman penjara lima tahun di Penjara Sungai Buloh setelah Mahkamah Persekutuan, pada 10 Februari 2015, mengekalkan sabitan dan hukuman yang dikenakan terhadapnya oleh Mahkamah Rayuan pada 7 Mac 2014 atas sabitan meliwat.

Semalam, Dr Mahathir dilaporkan mendakwa beliau tidak dibenarkan melawat Anwar yang sedang menjalani rawatan di hospital tersebut  selepas pembedahan pada November lalu berikutan arahan menteri  dalam negeri.

Sementara itu,  Ketua Pengarah Penjara Datuk Seri Zulkifli Omar dalam pada itu menjelaskan bahawa Jabatan Penjara dan Penjara Sungai Buloh tidak pernah menerima permohonan rasmi daripada Dr Mahathir untuk melawat Anwar.

Beliau berkata lawatan khas antara banduan dan pihak tertentu adalah dipertimbang berdasarkan Akta Penjara 1995, Peraturan-peraturan Penjara 2000 dan Perintah Tetap Komisioner Jeneral Penjara.

“Setiap permohonan bagi tujuan perjumpaan ini akan dipertimbangkan antaranya sebagai mendesak dan mustahak.

Pertimbangan akan dibuat oleh pegawai yang menjaga (pengarah) sesebuah penjara.

“Dari segi bidang kuasa, kita akan lihat kebimbangan pihak penjara sekiranya lawatan itu akan mencetuskan kontroversi, ancaman  keselamatan dan viral yang tidak baik,” katanya.

Beliau berkata persetujuan juga perlu diperoleh daripada banduan sama ada mereka menerima lawatan itu atau sebaliknya.

Zulkifli berkata  keutamaan lawatan di Hospital Rehabilitasi Cheras itu diberikan kepada keluarga Anwar.— Bernama   


Ahmad Zahid, Anwar, Mahathir

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain