BAGAN DATUK: Pemimpin masa kini diingatkan supaya tidak melupakan jasa dan pengorbanan pemimpin terdahulu yang berjuang demi kemajuan dan pembangunan negara, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Beliau berkata kemajuan dan pembangunan sesebuah negara tidak boleh dicapai hanya kerana hasil usaha dan pengorbanan pemimpin sedia ada. "Pemimpin terdahulu harus dihargai kerana jangan fikir adanya kita hari ini kerana kita. Sebaliknya, adanya kita kerana pemimpin terdahulu yang tidak tikam dari depan mahupun belakang dan pemimpin yang tinggalkan perjuangan," katanya. Ahmad Zahid yang juga anggota Parlimen Bagan Datuk berkata demikian ketika berucap merasmikan Dewan Dato Loppe Hashim dan Program Ceria ke Sekolah 2018 di sini, Sabtu. Seramai 6,000 pelajar sekolah rendah dan menengah dalam Parlimen Bagan Datuk menerima sumbangan kelengkapan sekolah yang diberikan beberapa syarikat korporat termasuk UEM Group selain Kelab Putera 1Malaysia. Ahmad Zahid berkata bagi menghargai jasa pemimpin terdahulu, daerah Bagan Datuk telah mengambil inisiatif menamakan dewan-dewan serta masjid di kawasan itu dengan nama-nama pemimpin tempatan terdahulu yang banyak berbakti semasa hayat mereka. Ini termasuk Dewan Dato Loppe Hashim yang dinamakan sempena tokoh pemimpin setempat yang merupakan anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Rungkup pada 1959 hingga 1974, katanya. Timbalan perdana menteri turut meluangkan masa melawat tapak projek masjid terapung di sini dan beramah mesra dengan pengunjung di Dataran Bagan Datuk serta membeli beberapa juadah termasuk cucur pisang selain air kelapa. -Bernama