suria

“Nak Dapat Sekilo Pun Susah”

Ramli menunjukkan kulit kerang yang ditangkapnya.

KUALA KURAU: Kenaikan harga sekilogram kerang mencecah RM12 di daerah ini membongkar masalah bekalan kerang yang semakin berkurangan di sini sejak kebelakangan ini.

Lebih malang, kerancakan aktiviti menternak kerang yang sinonim dengan perairan Kuala Kurau dan Kuala Bagan Tiang, Parit Buntar kini semakin pudar dan terhakis.

Jika 10 tahun dahulu, aktiviti penternakan kerang sangat popular di daerah ini sehingga pernah dicatatkan 300kg kerang berjaya dinaikkan ke darat setiap petang dengan harga pasaran cuma RM1 sekilogram.

Namun, senario sama sudah menjadi tinggalan sejarah apabila nelayan amat sukar untuk mendapatkan hasil tangkapan kerang walaupun hanya 1kg.

Nelayan, Shaharudin Md Din, 40, berkata, fenomena itu mencetuskan kenaikan harga kerang mendadak sehingga RM12 sekilogram.

Menurutnya, dahulu kerang antara yang memberi pendapatan lumayan kepada penternak dan nelayan di sini.

“Di sini hasil tangkapan kerang makin kurang berbanding tahun sebelum ini bila ada kerang yang ditangkap mati hanya tinggal kulit.

“Senario ini menjejaskan pendapatan kami yang juga penternak secara total,” katanya ketika ditemui di Kampung Nelayan Kuala Kurau, di sini, Ahad.

Shaharudin berkata, dia terpaksa mencari alternatif lain untuk menambah pendapatan dengan bekerja sebagai awak-awak.

Tambahnya, kepupusan kerang adalah kesan daripada aktiviti penternakan udang di pesisiran Kuala Kurau, selain pencemaran laut akibat pembuangan racun sawah padi yang dialirkan ke laut.

Dalam pada itu, Ramli Salleh, 55, pula berkata, sebelum ini kawasan tersebut banyak kerang, tapi berkurangan disebabkan pencemaran air.

Menurutnya, tidak mustahil dalam tempoh beberapa tahun akan datang, tiada lagi kelihatan pukat dijemur dan orang yang bekerja sebagai nelayan di kampung itu.

“Isu ini melibatkan sumber pendapatan nelayan dan penternak sekali gus kegiatan penternakan kerang secara keseluruhannya.

“Kita harap masalah ini dapat diatasi secepat mungkin,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Perak, Ir Dr Ahmad Anuar Othman berkata, pihaknya sedia maklum dengan masalah yang dihadapi nelayan di kawasan itu.

“Pihak kami akan mengarahkan beberapa pegawai bagi meninjau dan menyiasat dakwaan dikemukakan pihak nelayan dengan segera,” katanya. - Sinar Online

kerang

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Tun M Tolak Tawaran Azmin

Artikel Lain