KUANTAN: Operasi Medevac agensi penguatkuasaan Maritim Malaysia membawa seorang kanak-kanak yang mengalami pendarahan dalam hidung akibat tersumbat bateri jam dari Kampung Tekek, Pulau Tioman ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), malam Ahad. Pada pukul 5.40 petang Pusat Operasi Maritim Malaysia Wilayah Timur menerima panggilan kecemasan daripada doktor klinik kesihatan Tekek Tioman memaklumkan seorang kanak-kanak di Pulau Tioman tersumbat bateri lithium dalam hidung mengakibatkan pendarahan dan boleh menyebabkan kecederaan yang lebih serius. Pengarah Maritim Wilayah Timur, Laksamana Pertama Maritim Zulkarnain Mohd Omar berkata, sebuah pesawat udara Maritim Malaysia Agusta AW 139 ditugaskan untuk membawa pesakit tersebut dari Pulau Tioman ke HTAA lebih kurang jam 9.15 malam bagi mendapatkan rawatan. “Damia Az Zahra Mohd Azwan Azwani,3, tersumbat bateri jam dalam hidung mengakibatkan pendarahan dan memerlukan rawatan lanjut di Hospital Tengku Ampuan Afzan(HTAA). “Pesawat telah selamat mendarat di padang MPK Kemunting lebih kurang jam 11 malam ekoran keadaan cuaca yang tidak mengizinkan menyebabkan operasi menyelamat mengambil sedikit masa,” katanya dalam satu kenyataan di sini. Bagaimana pun katanya, dengan pengalaman dan kepakaran juruterbang, Leftenan Komander Maritim Ahmad Fauzan Jaafar dan pembantu juruterbang, Leftenan komander Maritim Mohd Faizul Mohamad Sayuti dan Bintara Muda Maritim Rohaizad Ramli, operasi dapat dilakukan dengan jayanya. - Sinar Online