KUALA LUMPUR: Seorang pelajar lelaki berusia lingkungan 14 tahun meninggal dunia setelah ditimpa kerusi pejabat yang dibuang dari tingkat atas Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Pantai, Pantai Dalam di sini, malam Isnin. Memetik laporan Sinar Online, dalam kejadian kira-kira jam 8.15 malam itu, mangsa dikatakan sedang melalui bawah blok perumahan berkenaan sebelum sebuah kerusi pejabat tiba-tiba jatuh dan menimpa mangsa. Mangsa meninggal dunia serta merta di tempat kejadian akibat kecederaan teruk dibahagian kepala. Salah seorang penduduk, Halim Mohd Kassim,47,berkata, ketika kejadian, dia berada di tempat letak kereta blok sama sebelum terdengar bunyi dentuman yang kuat. "Saya fikir perkara biasa sebab memang selalu orang buang-buang barang dari atas. Tapi tak lama lepas tu saya mula dengar bunyi jeritan dan ramai orang mula berlari mencari. "Saya lihat mangsa sudah terbaring kaku dengan keadaan kepala sudah pecah," katanya. Sementara itu, menurut laporan The Star, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ruslan Khalid mengesahkan insiden itu. Menurut sumber, kes disiasat di bawah Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan kerana membunuh tanpa niat.