KUCHING: Ibu panda gergasi yang terlalu melindungi membuatkan sehingga kini anak panda yang baru dilahirkan di Zoo Negara kira-kira lima hari lalu, masih belum diketahui jantinanya. Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata pakar zoologi bagaimanapun mengesahkan bahawa anak panda itu sihat dan perlukan masa dalam tempoh fasa menyusu beberapa bulan ini sebelum dapat diperiksa lebih rapi. Beliau berkata pakar zoologi melakukan tugas hebat dalam menyediakan persekitaran cukup selesa buat pasangan panda gergasi Xing Xing dan Liang Liang di Pusat Konservasi Panda di Zoo Negara sehingga membolehkan pasangan itu memperoleh anak kedua dalam tempoh yang cukup singkat selepas anak pertama dilahirkan. “Ia kejayaan yang luar biasa. Saya difahamkan China menghantar 12 pasangan panda gergasi ke pelbagai negara di seluruh dunia, tapi Malaysia satu-satunya negara yang berjaya membuatkan panda gergasi melahirkan anak sebanyak dua kali dalam tempoh yang cukup singkat,” katanya pada persidangan media di sini selepas menyampaikan bantuan beg buat pelajar sekolah dalam kawasan Parlimen Santubong, di sini, Jumaat. Wan Junaidi yang juga Anggota Parlimen Santubong berkata walaupun ibu panda itu boleh didekati dan disentuh oleh pakar yang menjaganya, namun anak panda itu masih tidak dibenarkan oleh ibunya untuk disentuh sesiapa. Pasangan panda Xing Xing dan Liang Liang tiba di Malaysia pada 21 Mei 2014 sebagai simbol jalinan hubungan diplomatik 40 tahun Malaysia-China, dan anak panda pertama pasangan itu dilahirkan pada 18 Ogos 2015 yang dinamakan Nuan Nuan, dihantar pulang ke China pada 14 November lalu bagi memenuhi syarat perjanjian dua negara.--Bernama