GUA MUSANG: Kasih ibu bawa ke syurga, kasih ayah sepanjang masa. Itulah gambaran kasih sayang ayah saat anaknya diuji dengan penyakit misteri. Sambil mengusap kepala dan tangan anak gadisnya, Nurul Aini Farahanur, 20, air mata warga emas, Muhamed Awang, 69, turut bergenang memikirkan nasib anak bongsunya. Kisah mengenai Farahanur atau lebih mesra disapa Anum ini pernah dipaparkan pada April tahun lalu di mana penyakit misteri yang dihidapinya menyebabkan seluruh badan seakan melecur. Lebih setahun menderita, tahap kesihatan Anum semakin menunjukkan perkembangan yang baik apabila dia sudah boleh menguruskan diri sendiri untuk ke bilik air. "Alhamdulillah, dengan doa dan usaha ramai pihak, Anum makin sihat. Saya menjaga Anum sendiri kerana enam anak yang lain berkeluarga dan bekerja di bandar. "Sebelum ini, Anum berada di Kuala Lumpur bersama kakaknya selama tiga bulan dan baharu empat bulan pulang ke kampung. "Sejak sebulan lalu, kulitnya mula mengering dan bahagian badan yang melecur kembali pulih. Namun masih ada kulit yang masih belum pulih sepenuhnya seperti di tangan dan belakang badan," katanya lagi. Tambah Muhamed yang menetap di Kampung Batu Papan ini, dia berterima kasih kepada orang ramai yang banyak membantu terutamanya jiran yang turut menguruskan bacaan yasin. "Isteri saya sudah meninggal dunia empat tahun lalu. Jadi, hanya saya tempat Anum bergantung harap. "Jiran saya meminta izin untuk mengadakan bacaan yasin selama tiga kali Jumaat dan dia menguruskan semua perbelanjaan untuk majlis itu. "Selepas bacaan yasin kali terakhir itu, Anum menunjukkan perubahan. Dia makin sihat dan kulitnya pulih sedikit demi sedikit. Malah, dia juga tidak mengalami sebarang gangguan selepas itu," katanya. Tahun lalu, Sinar Harian melaporkan Anum menderita penyakit misteri sejak Disember 2016. Pada awalnya, mulut Anum hanya mengalami ulser namun merebak dengan cepat ke mulut, leher dan seluruh anggota badan. Rawatan di hospital pula mengesahkan tiada sebarang penyakit dikesan menerusi pemeriksaan darah. Sesiapa yang ingin menghulurkan sumbangan, boleh menghubungi Muhamed di talian, 013-7682210, atau menyalurkannya ke akaun Agro Bank miliknya, 2001-7310-0012-2473. - Sinar Online