suria

Balasan Tunai RM50, Hikmah Sedekah Selipar

PETALING JAYA: Seorang pemuda tidak menyangka gerak hatinya untuk membawa sepasang selipar dalam perjalanan pulang dari tempat kerja sebenarnya hikmah buat dirinya.

Segalanya berpunca daripada keadaan cuaca hujan lebat yang memaksanya untuk membawa selipar tersebut sebagai 'penyelamat' agar kasut yang dipakai tidak basah.

Namun, takdir menemukan pemuda berusia 23 tahun itu dengan seorang lelaki yang hanya berkaki ayam dan dipercayai sedang dalam kesejukan di dalam tren sama.

"Waktu saya tegur pakcik tu, saya hanya ada satu stesen lagi sebelum sampai di Taman Suntex... dan jujur apa yang keluar daripada mulut saya cumalah soalan: "mana selipar pakcik?".

"Saya terus menyerahkan selipar yang dibawa secara spontan dan tidak sangka ada seorang wanita yang melihat insiden itu telah menghulurkan wang sebanyak RM50 kepada saya," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Jumaat.

Paparan skrin daripada rakaman video yang menunjukkan keadaan seorang lelaki berkaki ayam di dalam tren.

Jelas Sharul Hafidz Farahat, dia selalu menggunakan tren dari Stesen LRT Salak Selatan untuk pulang ke rumah yang terletak berhampiran Stesen MRT Taman Suntex.

Ketika kejadian, akauntan di firma swasta tersebut sedang membaca buku sambil berdiri dan tidak menyedari kehadiran lelaki berkaki ayam yang dianggarkan berusia 50-an itu.

Katanya, pada awalnya dia teragak-agak untuk menegur lelaki tersebut kerana berasa segan, namun terdetik untuk membantunya kerana simpati dengan keadaan lelaki berkenaan yang kelihatan sugul.

"Saya selalu anggap bila saya bantu orang yang tiada duit, memang saya tak akan dibalas dengan duit.

"Waktu dalam tren pun sebenarnya saya bukan dapat duit semata-mata, tapi kebaikan yang dibuat itu boleh berakhir dengan satu tren 'dikepung' dengan kebaikan, waktu itulah saya rasa Allah bagi ganjaran kepada saya," ujar pemuda yang berasal dari Johor itu.

Posting yang dimuat naik oleh Sharul Hafidz mengenai insiden yang berlaku ke atasnya pada Rabu.

Insiden tersebut mula tular di Twitter pada Rabu sehingga menerima lebih 33,000 'retweet' dan 14,429 tanda suka.

Posting itu mendapat reaksi positif daripada netizen yang rata-ratanya kagum dengan hikmah yang tersembunyi di sebalik keputusan Sharul Hafidz untuk membawa selipar gantian pada hari tersebut.

Seorang pengguna Twitter, @roarjab berkata:"Antara ramai orang dalam tren, Allah pilih kau untuk bantu pakcik tu.

"Rezeki kau tak akan terhenti setakat selipar baharu dengan air coklat kegemaran aku. Akan ada ganjaran yang lebih besar Allah akan bagi pada kau," tulisnya.

Melalui tweet tersebut, Sharul Hafidz memberitahu, dia menggunakan wang RM50 yang diberikan oleh wanita tersebut kepadanya untuk membeli selipar baharu dan sekotak air coklat.

selipar

Artikel Sebelum

10 Mat Lajak Kluang Ditahan

Artikel Lain