PUTRAJAYA: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) telah mengenal pasti lebih 5,000 syarikat terbabit dalam penipuan pungutan dan tuntutan balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sejak ia dilaksanakan pada 1 April 2015. Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri T. Subromaniam berkata, JKDM juga telah membuka kertas siasatan terhadap semua syarikat terbabit dengan sebahagiannya telah didakwa di mahkamah. "Mereka ini yang ‘hardcore' (tegar), bukan kurang faham mengenai GST kerana yang itu (tidak faham) kita tidak bawa ke mahkamah. Syarikat (hardcore) ini yang telah memungut GST, tidak bayar dan menipu," katanya kepada pemberita selepas acara Kayuhan Amal Kastam 1Malaysia (KAK1M), di sini Sabtu. Katanya, JKDM akan terus mendidik syarikat yang telah mendaftar GST melalui strategi mesra pelanggan iaitu 'pematuhan melalui pendidikan' berbanding penguatkuasaan serta tindakan penghukuman. "Untuk mengurangkan isu penipuan ini, kita turut memperkenalkan program Duta GST. Pada awal pelaksanaan banyak syarikat yang kurang faham, sebab itulah kita ambil pendekatan lebih mesra," katanya. Subromaniam berkata, setakat 31 Disember 2017, sebanyak 465,000 telah mendaftar GST, melebihi sasaran awal 200,000 syarikat. Ditanya sasaran kutipan GST pada tahun ini, beliau berkata, JKDM menetapkan sasaran RM43 bilion, meningkat sebanyak RM1 bilion berbanding 2017. "Bagaimanapun, kami percaya kami boleh mencapai lebih daripada itu. Tahun lepas kita telah mencapai sasaran ditetapkan kerajaan RM42 bilion dan angka sebenar akan diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 24 Januari ini," katanya. Berhubung KAK1M, Subromaniam berkata, acara itu yang diadakan di seluruh negara secara serentak bertujuan mempromosikan amalan gaya hidup sihat dan memberi peluang kepada masyarakat berinteraksi dengan pihak JKDM. Pada program itu, JKDM turut menyampaikan sumbangan RM100,000 kepada Persatuan Sindrom Down Malaysia (PSDM) hasil kutipan dana pada program itu. - Bernama