KOTA KINABALU: Pemandu teksi yang menawarkan perkhidmatan e-hailing mempunyai kelebihan tersendiri berbanding pengusaha perkhidmatan e-hailing biasa, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Shukri. Beliau berkata pemandu teksi mempunyai pilihan sama ada mahu menggunakan sistem perkhidmatan teksi mereka sendiri termasuk soal kadar tambang atau menggunakan sistem e-hailing melalui platform e-hailing sedia ada seperti Uber dan Grab. "Saya sudah berulang kali mengatakan kepada pemandu teksi bahawa mereka mempunyai kelebihan. Mereka boleh menggunakan caj menggunakan tambang mereka sendiri dan boleh mengambil penumpang di tepi jalan. "Kedua, mereka boleh membawa teksi seperti biasa dan pada masa yang sama boleh juga membawa teksi itu dengan menggunakan platform e-hailing dengan menggunakan kadar caj berbeza," katanya kepada pemberita selepas menyertai program Dialog Tranformasi Nasional 2050 (TN50) di sini Isnin. Justeru kata Nancy beliau menggalakkan pemandu teksi di Sabah agar bertanyakan pengalaman rakan-rakan mereka yang sudah menggunakan e-hailing di tempat-tempat lain seperti di ibu negara untuk mengetahui sendiri kelebihan pemandu teksi menggunakan platform e-hailing itu. Katanya, pada masa ini, 600 pemandu teksi di ibu negara sudah menawarkan perkhidmatan e-hailing menggunakan platform Uber dan 2,200 lagi dengan Grab. Malah kata, Nancy pemandu teksi mempunyai pilihan untuk membuka aplikasi mereka sendiri dan buat perbandingan dengan platform e-hailing sedia ada. Menurut Nancy pihaknya akan mewujudkan lab khusus untuk membincangkan perkara itu di Sabah dalam tempoh terdekat bagi mendengar dan membincangkan sebarang isu berhubung perkara itu dan mencari kaedah menyelesaikannya. -Bernama