PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pengerusi syarikat perunding kejuruteraan bergelar Datuk Seri yang terlibat dalam kajian projek terowong dasar laut di Pulau Pinang. Difahamkan, suspek berusia 62 tahun itu ditahan ketika hadir di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya pada pukul 2.44 petang Rabu. Menurut sumber, suspek dipercayai terlibat dalam penyediaan dokumen tuntutan palsu bagi kajian kebolehlaksanaan tiga jalan utama dan terowong di Pulau Pinang yang bernilai kira-kira RM305 juta kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Tambah sumber, SPRM juga sedang menyiasat sama ada individu lain turut terlibat bersubahat dalam pemalsuan dokumen itu. Penahanan pada Rabu menyaksikan seramai empat individu telah ditahan SPRM bagi membantu siasatan berhubung kajian tersebut. Pada Selasa, SPRM menahan seorang wanita yang juga perunding kejuruteraan bagi sebuah syarikat yang berpangkalan di ibu negara. Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut namun enggan mengulas lanjut. Terdahulu, seorang pengerusi dan timbalan pengerusi syarikat berasingan direman selama 10 hari sejak 10 Januari lalu, bagi membantu siasatan berhubung kes tersebut. Kedua-duanya dibebaskan dengan jaminan RM200,000 setiap seorang, Sabtu lalu.