suria

Apalah Sangat RM50,000!

WANG ringgit dan harta bukanlah segalanya. Sebanyak mana pun ia, mana mungkin dapat menggantikan susah payah dan jerih payah pengorbanan seorang ibu melahir dan membesarkan anak-anak.

Bagi seorang ibu, cukuplah jika anak yang dikandung dan dilahirkan ke dunia ini menjadi 'orang'.

Namun, amatlah besar maknanya jika seseorang anak itu dapat memberi kegembiraan kepada wanita yang sanggup berkorban untuk keluarga sepertimana yang dilakukan oleh Nurul Aina Sakila Othman, 29.

Anak keempat daripada lima beradik ini sanggup berhabis sehingga RM50,000 hanya untuk mengadakan majlis sambutan hari lahir, majlis persaraan dan doa kesyukuran untuk ibunya, Rohana Lamin, 58.

Bertempat di Laman Permai Indah, Juasseh Kuala Pilah baru-baru ini, dianggarkan 1,000 tetamu yang hadir memeriahkan majlis berkenaan yang dibuat secara gilang gemilang.

Menurut Nurul Aina, mengadakan majlis seumpama itu untuk kedua ibu bapanya bukanlah perkara baharu, namun kali ini ia lebih meriah.

“Ibu saya baru saja bersara dan hari lahirnya pada 20 Januari lalu. Saya memang dah lama rancang nak adakan majlis sebegini kerana nak gembirakan ibu.

“Lagipun ayah pula pada Oktober lalu mendapat serangan jantung dan berita itu sangat mengejutkan ibu dan kami adik beradik. Tapi saya bersyukur kerana keadaannya beransur pulih dan sebab itu majlis yang diadakan itu turut disertakan dengan majlis kesyukuran,” katanya kepada Sinar Harian.

Rohana dan suami memotong kek. Nurul Aina yang bekerja sendiri berkata, ada sebahagian tetamu yang hadir mempersoalkan tentang majlis diadakan yang dianggap sebagai satu pembaziran.

Namun dia ada alasan tersendiri dan tidak kisah jika terpaksa berhabis duit untuk kedua ibu bapanya yang telah bersusah payah membesarkannya selama ini.

“Saya masih belum berkahwin dan selagi itu saya bertanggungjawab terhadap ibu dan ayah. Rezeki yang ada, saya kongsi dengan mereka dan tak pernah rasa ia menyusahkan.

“Betapa gembiranya saya melihat tangisan kegembiraan ibu yang tak sangka diraikan sebegitu rupa.  Ibu dan ayah diarak dengan sebuah kereta klasik dan disandingkan semula setelah berpuluh tahun mendirikan rumah tangga.

“Melihat riak wajah mereka tersenyum sudah menenangkan hati. Bagi saya kita perlu hargai kedua ibu kerana tiada gantinya apabila mereka sudah meninggal dunia,” katanya.



  

Laman Permai Indah, Nurul Aina

Artikel Sebelum

Kantoi Kebas Ayam

Artikel Berikut

Artikel Lain