suria

JSJK Diarah Benteras Gejala Rasuah Atur Perlawanan

Dr Ahmad Zahid Hamidi (tengah) menerima cenderahati berbentuk jersi pasukan yang mempunyai namanya pada Majlis Pelancaran Pasukan Bola Sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM) Liga Premier musim 2018. Foto: Bernama

PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Polis Diraja Malaysia (PDRM) membanteras gejala pemain, jurulatih dan pegawai pengurusan yang terbabit dalam kegiatan mengatur keputusan perlawanan Liga Malaysia (Liga-M).

Beliau berkata perlakuan jenayah yang boleh membunuh sukan nombor satu negara itu perlu dihentikan segera dengan pelakunya diseret ke mahkamah.

"Sebagai Menteri Dalam Negeri, saya menyahut seruan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim agar PDRM bukan sekadar menjadi pasukan bola sepak tetapi turut bertindak tegas terhadap perilaku tamak haloba sehingga menjual perlawanan yang menular dalam arena bola sepak negara,” katanya berucap melancarkan skuad dan jersi baharu pasukan bola sepak PDRM FA yang akan bersaing dalam Liga Perdana musim ini.

"Mereka ini seolah-olah tidak cukup dengan gaji, elaun dan insentif yang disediakan pasukan, namun di bawah kepimpinan Ketua Polis Negara yang baharu aktiviti menjual perlawanan merupakan satu perjudian akan dibanteras habis-habisan," katanya.

Ahmad Zahid berkata selain tiga aspek tersebut, PDRM turut 'menghidu' terdapat pengadil yang bersekongkol dengan bookie bagi melakukan jenayah tersebut.

Untuk itu, pengadil juga tidak terlepas dari diambil tindakan jika siasatan mendapati mereka terlibat dalam aktiviti itu, dan amaran ini akan disusuli dengan tindakan, katanya.- Bernama

Ahmad Zahid Hamidi

Artikel Berikut

Flat Atau Lubuk Sampah?

Artikel Lain