PETALING JAYA: Jika sebelum ini rakyat Malaysia tidak terlalu ambil kisah mengenai rekaan logo 'Visit Malaysia' (Tahun Melawat Malaysia), namun berbeza pula kali ini apabila ia menarik perhatian ramai hingga mencetus perdebatan dalam kalangan netizen. Rekaan tersebut bukan sahaja dianggap palsu, malahan netizen tidak menyangka ia adalah logo rasmi 'Visit Malaysia 2020', malahan ada yang menyifatkan ia tidak setanding dengan usaha promosi pelancongan yang diketengahkan negara lain. Posting yang dimuat naik oleh Muhammad Hidayatullah adalah antara tweet yang paling mendapat perhatian kerana rekaan logonya yang dianggap jauh lebih menarik berbanding logo asal. "Ramai tidak puas hati logo 'Visit Malaysia 2020', macam tahun 1901 zaman perang Jepun. "Aku pun buatlah satu logo dalam masa 30 minit sebagai tanda protes," tulis Muhammad Hidayatullah menerusi tweet tersebut pada Sabtu malam. Dia turut beranggapan bahawa Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan mengambil mudah mengenai perkara tersebut walaupun mampu mendapatkan khidmat pereka grafik yang berkebolehan untuk menghasilkan rekaan logo untuk perancangan bagi tahun yang istimewa itu. Logo baharu rekaan Muhammad Hidayatullah yang didakwa disiapkan dalam masa 30 minit sahaja. Sementara itu, seorang pengguna Twitter lain, Effi Saharudin pula berkata: "Saya lihat logo 'Visit Malaysia' dan saya rasa seperti ingin membuang perisian 'photoshop CC' dan menggantikannya dengan perisian 'paint'." Manakala, Izzatsam berkata: "Adakah mereka memilih logo 'Visit Malaysia' daripada arkib tahun 90-an?" Namun, berlainan pula Azlan Sulaiman yang beranggapan kebanyakan logo baharu yang dihasilkan pereka lain hanya cantik di mata, tetapi tidak menyampaikan mesej dengan baik. "Ramai aku tengok pereka buat versi logo 'Visit Malaysia 2020' kepunyaan sendiri dan semuanya lawa. "Tapi kebanyakan mesej tidak sampai sebab terlalu banyak elemen," katanya. Seorang lagi yang sependapat dengan Azlan, @hxsm berkata: "Tidak faham kenapa orang marah dengan logo 'Visit Malaysia' ni. "Ia nampak okay. Selepas semua ini, 'mediocrity' (biasa-biasa sahaja) adalah sebahagian daripada budaya orang Malaysia."