suria

Guru Besar Sanggup Main Gitar Demi Murid

PASIR MAS: Kepakaran memetik gitar dimanfaatkan sepenuhnya oleh Guru Besar Sekolah Kebangsaan Bukit Jarum (SKBJ), Zukri Suzita Yaso memudahkan anak didiknya menghafal sifir menggunakan irama lagu-lagu popular ketika ini.

Zukri berkata, teknik yang digunakan sejak tahun lalu itu telah membantu murid-muridnya menghafal sifir dengan lebih mudah dan cepat.

"Apa yang mengejutkan saya, hanya dalam tempoh dua hari murid-murid ini berjaya menghafal sifir dan ini merupakan sesuatu yang positif.

"Saya akui bukan mudah untuk menghafal sifir, namun bila kita tukar dalam bentuk lagu murid-murid cepat dapat ingat.

"Bukan itu sahaja, mereka lebih seronok belajar melalui kaedah ini," katanya.

Menurutnya, bagi menarik minat dan memudahkan hafalan sifir, dia akan menggunakan lagu-lagu popular di corong-corong radio.

Katanya, lagu-lagu popular ini akan menguatkan lagi minat murid untuk menghafal sifir menggunakan kaedah ini.

"Sebagai contoh, untuk sifir tiga, saya gunakan lagu Anak Kampung yang telah diubah suai liriknya dengan susun atur sifir tersebut.

"Selain Anak Kampung, saya turut gunakan irama lagu Aisyah (Projektor Band) dan Tak Tun Tuang (Upiak Isil) untuk menarik minat murid menghafal sifir," katanya.

Zukri berkata, lebih membanggakan lagi dia menerima respon positif daripada golongan ibu bapa yang menyambut baik kaedah ini.

Katanya, respon tersebut memberikan dia ilham untuk menghasilkan album bagi membantu murid sekolah rendah menghafal sifir.

"Tujuan utama kita ialah untuk mewujudkan suasana pembelajaran yang menarik.

"Bila suasana pembelajaran menjadi menarik secara tidak langsung dapat membantu merangsang perkembangan pelajaran anak-anak khususnya di SKBJ," katanya.

Zukri berkata, idea untuk menggunakan muzik itu timbul sudah lama namun terpaksa 'dibekukan' buat sementara waktu kerana kekangan peralatan.

Katanya, selepas mempunyai peralatan cukup dia mengambil keputusan untuk menghidupkan semula hasrat yang telah lama disimpan itu.

"Saya harap idea ini dapat disebar luas ke seluruh sekolah bagi membantu murid-murid untuk minat pada Matematik," katanya. 

Video Zukri menggunakan kaedah tersebut menerima tontonan lebih 46,000 sejak dimuat naik ke lamam sosialnya pada 21 Januari lalu.

Bukan itu sahaja, video berdurasi 1 minit 53 saat turut dikongsi oleh 413 rakan Facebooknya. - Sinar Online

guru besar, gitar

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain