suria

'Roar' Tampil Si Cilik Sampaikan Isu Haiwan Pupus & Terancam

Antara barisan pelakon dramatari Roar yang mengetangahkan mesej mengenai kepupusan haiwan di negara ini.

PETALING JAYA: Pepatah ada berkata, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Itulah yang cuba disampaikan menerusi pementasan dramatari 'Roar' mengenai isu haiwan pupus dan terancam di negara ini.

Melibatkan 50 pelajar seawal usia empat tahun yang bakatnya diasah menerusi Kelas Tarian Tradisional (Kanak-Kanak) Tunas Tari, penonton dalam kalangan pelbagai latar belakang terpukau dengan persembahan tujuh segmen termasuk 13 unsur tari yang digarap dengan baik selama 60 minit itu.

Pengarah Eksekutif Tunas Tari, Fazlin Abu Hassan Shaari berkata, usaha untuk menyelamatkan haiwan yang kian pupus harus dilakukan termasuk menerusi pendidikan dan seni persembahan bagi menanam kecintaan terhadap tarian tradisional negara ini.

"Menerusi Roar, kami mahu menanam semangat cintakan hidupan liar dan kepentingan pemeliharaan alam sekitar dalam kalangan kanak-kanak," katanya kepada mStar Online.

Salah satu tarian tradisional yang dipersembahkan menerusi dramatasi Roar yang dipentaskan baru-baru ini.

Secara ringkasnya, Roar mengisahkan mengenai seekor anak harimau yang kematian ibu bapanya akibat diburu manusia. Disebabkan peristiwa itu, dia menjadi anak harimau yang penakut dan lemah.

Namun, akhirnya anak harimau itu bersahabat dengan haiwan rimba yang lain sebelum bersatu menentang manusia yang sering memburu mereka.

Dramatari yang diarahkan Hafiz Askiak ini turut menampilkan sembilan karakter haiwan sebagai watak utama, antaranya harimau, kijang, gajah dan burung merak.

Apa yang menarik, persembahan unsur tari dan lakonan yang diselang seli dengan elemen penceritaan ini memudahkan penonton cilik memahami intipati yang cuba disampaikan menerusi pementasan itu.

Elemen sokongan seperti props, kostum, audio dan visual di layar gergasi turut menambahkan lagi kehebatan pementasan ini yang boleh dikatakan setaraf dengan pementasan teater antarabangsa.

Turut mencuri tumpuan ialah pelakon-pelakon cilik yang pastinya membuat penonton tersenyum sepanjang pementasan berlangsung.

Menurut salah seorang pelakon Roar, adik Shaista Ayesha Muhammad Zairul Adzuar, 11, dia berasa bangga dan gembira kerana dapat menyampaikan mesej berguna mengenai kepupusan haiwan menerusi platform seni seperti ini.

Shaista Ayesha Muhammad Zairul Adzuar

"Saya sangat teruja apabila dapat turut serta dalam pementasan ini. Ceritanya mengenai kepupusan haiwan dan alam sekitar, saya harap kawan-kawan yang lain sedar mengenai hal ini dan sama-sama memperjuangkan nasib haiwan yang semakin pupus," katanya.

Dramatari Roar yang disokong oleh Yayasan Maybank ini dipentaskan selama dua hari pada 27 dan 28 Januari lalu di Teater Pusat Kreatif Kanak-Kanak Tuanku Bainun (KuAsh), Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur.

Malam pembukaan turut menyaksikan kehadiran  Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim dan penonton dari segenap lapisan umur.


Roar, Tunas Tari

Artikel Lain